Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Sabtu, 28 Januari 2012

Misha, Rossa di Istana Budaya

pix_gal0
Bergabung menerusi Konsert Cinta: Diva Dua Negara Julai depan

SEDEKAD bergelar penyanyi, keinginan nan satu yang sudah lama dicita-citakan wanita bernama Misha Omar ini kian tercapai. Julai bakal mencatat satu sejarah dalam lipatan kerjaya anak kelahiran Kelantan ini.
Selama ini dia berpeluang menjejakkan kaki di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) atas tiket pelakon teater sedangkan kerjayanya bermula sebagai penyanyi. Namun tanggal 6 hingga 8 Julai nanti, hasrat yang sekian lama terpendam di kalbu Misha bakal direalisasikan menerusi Konsert Cinta: Diva Dua Negara anjuran CTRA Production.

Bagaimanapun penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini tidak keseorangan, sebaliknya konsert berkenaan turut menyaksikan kehadiran penyanyi Indonesia, Rossa.

“Memang sudah lama saya mengimpikan sebuah konsert. Melihat penyanyi lama dan baru turun naik pentas, keinginan itu tentunya terbit juga di hati.

“Apatah lagi melihat Datuk Shiela Majid dan Yuna mengadakan konsert, memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara serupa. Saya sentiasa berdoa satu hari nanti keinginan itu termakbul.
“Alhamdulillah, tahun ke-10 dalam bidang ini, barulah impian itu tercapai. Walaupun perjalanannya panjang, bagi saya ia berbaloi. Selama ini saya seronok melihat teman-teman melakukannya.

“Bagi saya biarlah apabila lapar baru makan daripada sudah kenyang, tapi masih disuap. Konsert ini akan menjawab pertanyaan peminat yang rindukan saya selama ini. Saya masih aktif menyanyi cuma kebanyakannya membabitkan persembahan korporat dan majlis makan malam,” kata Misha yang sukar menggambarkan betapa terujanya dia untuk menghadapi konsert berkenaan.

Saat dilamar CTRA Production, penyanyi yang baru meraikan ulang tahun ke-30 pada 6 Januari lalu, berkata terlalu sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika itu.

Malah saat dihubungi Hip, dia masih sukar mempercayai hakikat itu. Hilai ketawanya di hujung talian sudah cukup menggambarkan perasaan wanita ini.

Kata Misha, dia tidak memerlukan penari latar untuk mengiringi konsertnya nanti. Sebaliknya hanya bersandar kepada kekuatan suaranya untuk memikat hati peminat.

“Vokal adalah senjata saya, bagi mempersiapkan diri untuk konsert itu saya sudah mula ke gimnasium.
Sebenarnya masih terlalu awal untuk saya memperkatakan mengenai konsert ini kerana ada beberapa bulan lagi.

“Namun sedikit sebanyak yang boleh dikongsikan, saya dan Rossa masing-masing diberi tempoh satu jam untuk membuat persembahan. Kami mungkin akan berduet pada malam itu, tetapi lagu apa yang bakal dinyanyikan masih belum diputuskan. Kami akan berbincang dengan Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik terlebih dulu,” kata Misha yang tidak bimbang dibayangi Rossa kerana masing-masing akan muncul dalam slot berasingan.

Tambahnya, mereka mempunyai cara tersendiri. Hanya jalinan muziknya saja yang sama, justeru dia tidak bimbang Rossa akan membayangi persembahannya.

Dalam konsert berkenaan, Misha berkata, dia bakal mendendangkan lagu daripada album pertamanya sehinggalah kini. Antara lagu hit miliknya seperti Bunga-bunga Cinta, Lilitan Asmara, Halaman Asmara, Cinta Adam & Hawa, Pulangkan, Ku Seru dan banyak lagi.


Konsert mereka tiada dalam senarai


Konsert Cinta: Diva Dua Negara gandingan Misha Omar dan Rossa tidak ada dalam kalendar Istana Budaya (IB) kerana penganjur baru mengemukakan permohonan untuk membuat persembahan kepada pengurusan panggung budaya ini.

Sehubungan itu, tarikh konsert yang dikatakan pada 6 Julai hingga 8 Julai belum diputuskan kerana ia tertakluk kepada kekosongan IB pada waktu itu.

Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaari berkata, pihaknya masih di peringkat perbincangan dan permohonan yang diterima itu perlu dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi untuk mendapatkan kelulusan.

“Memang terdapat kekosongan pada tarikh terbabit tetapi masih belum memutuskan program yang akan diisi.
Rasanya saya baru saja menerima permohonan daripada penganjur dan kita perlu membawanya ke dalam mesyuarat pengurusan sebelum memberikan kelulusan.

“Saya nasihatkan kepada artis yang ingin membuat persembahan di sini jangan mengeluarkan sebarang kenyataan selagi ia belum mendapat kelulusan sebab banyak penilaian yang perlu kita lakukan sebelum memberikan kebenaran,” katanya ketika dihubungi Hip.

Sebelum ini IB ada menerima permohonan daripada Rossa untuk mengadakan konsert di IB tetapi terpaksa ditolak kerana tiada kekosongan.

Mohamed Juhari menegaskan, ia bukan bermakna IB menghalang artis luar termasuk dari Indonesia untuk mengadakan persembahan di situ kerana terdapat slot khas untuk artis antarabangsa.

“Kita memang buka untuk artis antarabangsa beraksi di sini seperti konsert West End. Rossa mempunyai ramai peminat di sini jadi buat apa kita nak lepaskan peluang itu cuma tarikh yang dipilih penganjur tiada kekosongan,” jelasnya.

Kesudian penyanyi Indonesia itu mengadakan konsert solonya di IB selepas tertarik menonton konsert Datuk Siti Nurhaliza, tiga tahun lalu.

Memikirkan banyak faktor yang perlu dititik beratkan sebelum memberi sebarang kelulusan kepada penganjur, Juhari berkata ia penting memandangkan IB adalah lokasi seni bertaraf antarabangsa.

“Banyak faktor yang perlu kita teliti dari segi persembahan, kredibiliti penganjur, tarikan penonton dan macam-macam lagi kerana Istana Budaya bukan pentas biasa.

“Kita buka kepada semua syarikat produksi yang ingin mengadakan persembahan di sini asalkan persembahan yang dibawa itu mampu menarik penonton yang ramai,” kata

*BERITA HARIAN

Isnin, 26 September 2011

Misha, Nora hiburkan orang kampung

MISHA dan Nora akan mendekati penduduk Tanah Merah yang tinggal di ibu kota pada persembahan khas di PWTC.
MISHA dan Nora akan mendekati penduduk Tanah Merah yang tinggal di ibu kota pada persembahan khas di PWTC.

Majlis perhimpunan anak jati Tanah Merah bersama pemimpin akan berlangsung di PWTC, 9 April

WALAUPUN sudah sekian lama menjadikan ibu kota sebagai lokasi tempat tinggal dan mencari rezeki, namun tiga penyanyi popular kelahiran Kelantan, tetap tidak melupakan akar umbi masing-masing.
Justeru mereka dengan senang hati menerima pelawaan mengadakan persembahan pada majlis yang bertujuan mengeratkan lagi silaturahim penduduk negeri itu, 9 April ini.
Kemunculan tiga penyanyi yang terkenal dengan kehebatan vokal, Misha Omar, Nora dan Jay Jay, menjayakan Malam Mesra Anak Tanah Merah Di Perantauan pastinya memeriahkan lagi acara terbabit.

Majlis makan malam dan ramah mesra pemimpin dan rakyat anjuran Persatuan Anak Tanah Merah (PERTAMA) dan Persatuan Mahasiswa Tanah Merah (PERMATA) akan berlangsung di Aras 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Ia diadakan bermatlamat mengeratkan hubungan di samping mendekatkan lagi penduduk Tanah Merah, Kelantan, yang kini merantau ke ibu kota.

Penganjurnya, Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz berkata, aktiviti pemimpin bersama rakyat yang bertujuan mengeratkan silaturahim kedua-dua pihak bukan kali pertama dianjurkan mereka.
“Ini bukan program pertama yang membabitkan pertemuan anak jati Tanah Merah diadakan, malah sebelum ini kami pernah mendekati mereka dengan memberikan tiket percuma untuk menyokong dan menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan menentang Negeri Sembilan, tahun lalu.

“Aktiviti umpama ini seharusnya diadakan lebih kerap lagi, dengan mendekati golongan sasar ini, di samping mengelakkan hilangnya jati diri ketika berada di perantauan, terutama di ibu kota yang serba mencabar ini.

“Sempena perjumpaan dan majlis makan malam itu juga, kami turut mengundang tiga artis popular yang juga anak kelahiran Kelantan untuk menghiburkan hadirin pada malam terbabit. Saya mengharapkan anak jati Tanah Merah dapat menghadirkan diri ke majlis ini, yang diadakan secara percuma,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Berkumpul hilangkan kerinduan

MISHA yang hadir sama pada pertemuan berkenaan berkata, secara peribadi, dia berbangga dapat menjayakan program bukan saja bersama rakan seperjuangan, malah di hadapan ‘orang kampungnya’ yang sentiasa menyokong pembabitannya dalam seni.

“Sudah tentu saya berbangga dapat menjayakan majlis ini. Tidak mustahil pada majlis itu nanti saya mungkin dapat bertemu dengan orang kampung atau saudara-mara yang tinggal di ibu kota, begitu juga dengan orang lain.

“Kami sama-sama satu bahasa, satu dialek dan masing-masing makan nasi berlauk, sudah tentu tidak ada masalah menjadikan majlis ini lebih mesra dan harmoni. Saya berharap, semua orang Tanah Merah yang berada di ibu kota dapat hadir beramai-ramai menjayakan majlis bersama pemimpin ini," katanya yang baru saja muncul bersama album kompilasi berjudul Dia... Misha.

Kata penyanyi Pulangkan ini, dengan adanya program seperti itu, anak Tanah Merah yang merantau di ibu kota dapat menghilangkan kerinduan mereka kepada kampung halaman, yang sudah lama ditinggalkan kerana mencari rezeki.

“Seperti saya juga, yang sudah jarang pulang ke kampung, sedikit sebanyak kita dapat menghilangkan kerinduan dengan berkumpul beramai-ramai dalam majlis ini nanti.

“Memandangkan kerjaya sebagai artis ini turut memainkan peranan penting kepada semua bidang, saya mengambil peluang ini untuk menyedarkan diri dan orang ramai, untuk sentiasa mengambil tahu perkembangan kampung halaman dan mengenali dengan lebih rapat pemimpin kita sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai persembahannya pada malam itu, Misha akui tiada kelainan yang bakal ditampilkan, namun fokusnya ialah kepada cara untuk lebih mendekati masyarakat Tanah Merah pada malam itu.

“Selain itu, ia medium terbaik kerana saya baru saja menerbitkan album kompilasi pada 14 Mac lalu, tak salah gunakan peluang yang ada di depan mata ini untuk mendekati mereka,” katanya.

Bertutur dialek Kelantan

NORA juga berbangga dapat sama-sama menyertai program yang jarang disertainya sebelum ini.

Ditanya adakah dia bimbang untuk terbabit dalam majlis yang menghimpunkan kesemua penduduk Tanah Merah seperti itu mampu menimbulkan isu kenegerian.

“Bagi saya, tidak perlu wujud isu umpama itu, memandangkan semua orang pun tahu yang saya anak kelahiran Kelantan, jadi apa salahnya saya meraikan majlis untuk orang kampung saya?

“Malah saya berbangga dapat tawaran mengadakan persembahan ini. Ia adalah tanggungjawab saya sebagai penyanyi untuk menghiburkan tetamu yang datang.

“Menariknya, berkemungkinan saya akan bertutur dalam dialek Kelantan sepanjang majlis itu, cuma yang janggalnya saya tidak pernah mengadakan persembahan di atas pentas sambil menggunakan dialek itu. Bagaimanapun, saya akan cuba melakukannya juga nanti,” katanya yang kini turut sibuk menguruskan syarikat produksi TV dan filem miliknya, Hud Hud Media.

*BERITA HARIAN

Harap pamer aksi terbaik

KOTA BHARU: Jelitawan kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang bukan saja mahu melihat pasukan Kelantan membawa pulang Piala FA ke negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga, tetapi pada masa sama berharap pemain Kelantan mempamer aksi terbaik yang bakal dikenang sampai bila-bila.

Penyanyi dan pelakon, Samiha @ Aishah Omar atau Misha Omar, 29, berkata, sokongan padu dan doa seluruh rakyat Kelantan seharusnya dijadikan azimat untuk pemain Kelantan berusaha meraih kemenangan, sekali gus tidak mengecewakan penyokong terutama yang sanggup bersusah payah menempuh perjalanan ratusan kilometer semata-mata untuk menonton perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.


“Bukan saya saja, tetapi seluruh rakyat Kelantan mahu Kelantan menang. Diharap sokongan yang diberi tidak dibalas dengan kekecewaan.

“Bermain dengan ikhlas, insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada Kelantan. Tunjukkan juga aksi cemerlang supaya perlawanan malam ini akan dikenang sebagai perlawanan terbaik sampai bila-bila,” katanya.


Menurut Misha yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, dia sentiasa mengikuti perkembangan pasukan Kelantan, terutama selepas prestasi pasukan yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors itu naik mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


“Saya suka melihat penjaga gol (Khairul Fahmi Che Mat) dan penyerang (Norshahrul Idlan Talaha). Mereka memang berbakat besar dan cemerlang.

“Cuma, saya lihat Norshahrul nampak berisi sikit selepas kahwin. Harap dapat jaga badan,” katanya.


Misha turut berpesan kepada penyokong Kelantan supaya menjaga diri dan berdisiplin.

“Kita tak mahu orang lain melihat penyokong Kelantan dengan pandangan yang negatif sebab kita sering menjadi mangsa tuduhan liar apabila berlaku sesuatu perkara tidak diingini ketika perlawanan membabitkan pasukan Kelantan.


“Tunjukkan kita adalah penyokong yang terbaik. Andai kata takdir tidak menyebelahi kita, kenalah terima dengan hati terbuka,” katanya yang meramal Kelantan akan menundukkan Terengganu dengan jaringan 2-0.


Bagaimanapun, Misha mengakui kekangan kerja menghalang dia daripada berkunjung ke stadium menonton perlawanan berkenaan.


Pendatang baru seni suara, Noor Qalisha Ahmad Rashid, 20, atau Qalisha pula berkata, sebagai anak jati Kelantan kelahiran Pasir Mas, dia bangga melihat pasukan bola sepak negerinya melangkah ke final Piala FA malam ini.


“Dulu tiada siapa peduli, tetapi kini pasukan Kelantan sering menjadi perhatian dan digeruni lawan. Pada perlawanan malam ini, saya nak lihat Kelantan menang.


“Buktikan Kelantan bukan calang-calang pasukan,” katanya yang meramalkan Kelantan menang 3-1 ke atas Terengganu.


Menurut penyanyi berdarah campuran Arab, Pakistan, Afghanistan, Melayu dan Bugis itu, dia mengharapkan kesebelasan pemain Kelantan yang beraksi malam ini mempamer aksi terbaik, sekali gus mampu menghiburkan dan memuaskan hati penyokong.


“Kelantan bukan saja perlu menang, tetapi perlu juga menang daripada segi aksi yang dipamer,” katanya.


*HARIAN METRO

Isnin, 2 Mei 2011

Misteri status kekasih Misha




MAKIN matang, makin bijak mematahkan ‘peluru berpandu’ yang dimuntahkan kepadanya, makin cantik dan makin ‘panas’, penyanyi Misha Omar pada usia 29 tahun ini sedang menempuh gelombang hidup yang agak ganas.

Ini kerana dia terus diserang barah cerita sudah berkahwin secara rahsia. Lebih memanaskan cerita tersebut, lelaki yang dikahwini Misha itu didakwa sebagai suami orang dan Misha menjadi isteri ketiga kepada lelaki dengan status seorang usahawan berjaya itu.

Sudah puas dia menepis. Puas juga menafikan dakwaan kurang berasas itu. Namun ia datang juga, mengikut angin taufan yang belum mahu berhenti melanda dirinya.

Sehingga akhirnya dia lelah, penyanyi ini dengan tegas memberitahu: “Selepas ini jangan marah jika saya mula menjawab soalan tentang peribadi saya dengan jawapan tak mahu komen.

“Selama ini, saya telah berusaha jujur dengan semua pihak. Saya tidak salahkan media apabila cerita ini terus berulang kerana saya faham selagi ada sumber, selagi itu ia akan dipaparkan. Dan selagi saya melayan pertanyaan, selagi itu akan ada cerita.

“Justeru, saya fikir, jika saya tidak menjawab lagi pertanyaan yang boleh menjadi panjang, tetapi hanya mengatakan tiada komen, mungkin itu lebih baik,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi Dia...Misha di Celebrities Club, Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.


PADA usia 29 tahun, Misha sudah cukup matang untuk mengharungi nista dan cabaran yang datang kepadanya.


Menurut anak kelahiran Kelantan ini, sebagai seorang wanita yang sudah meningkat usia, dia mempunyai keinginan berkahwin, malah sudah bersedia untuk menjadi isteri orang. Dia juga mengaku takut terkena badi tidak berkahwin kelak.

Tetapi katanya, selagi kekasih hati tidak melamar atau menghantar rombongan meminang, bagaimana dia hendak melangkah ke alam perkahwinan yang hangat disensasikan segelintir pihak.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memang sudah punya kekasih, tetapi saya menafikan saya telah berkahwin. Jangan risau, saya tidak akan menyorokkan kisah saya berkahwin kepada umum. Jika tiba masanya nanti, akan saya kongsi bersama.

“Hanya buat masa ini, memang saya belum berkahwin. Sebagai wanita yang sudah berusia 29 tahun, saya juga ingin berkahwin. Jujur, saya takut badi tak kahwin. Dan saya tidak mahu berkahwin hanya kerana tekanan seperti sekarang,” katanya lagi.

Didesak membocor rahsia adakah benar dia kini menjalin cinta dengan suami orang, pemilik suara gemersik ini ringkasmenjawab: “Itu adalah misteri yang belum boleh saya jawab.”

Namun apabila terus diasak, pendek juga jawapan Misha. Dalam tawa namun penuh makna, Misha menjawab: “Bagi isteri yang sempurna, tak perlu risau dengan Misha Omar, tapi mungkin kalau kurang sempurna, perlu ada kerisauan sedikit.”


MISHA sempat mendendangkan empat buah lagu pada majlis pelancaran album kompilasi yang mengandungi 16 buah lagu itu.


Ditanya adakah gosip tersebut mampu membunuh karier sembilan tahun yang dibina dan bolos kontroversi, Misha mengangguk kecil. Kemudian secara rasional dia memberitahu, gosip tersebut tidak sehingga memusnahkan kariernya, tetapi mengaku, ia melumpuhkan sedikit semangatnya sebagai anak seni.

“Saya faham benar, inilah pakej yang datang seiring dengan kerjaya yang saya pilih. Walaupun kadang-kadang saya fikir ia melelahkan, tapi saya harus bertenang. Sebagai seorang wanita yang semakin dewasa dan matang, saya rasa saya boleh menangani hal ini dengan sebaik mungkin,” jelasnya.

*KOSMO

Sembilan tahun yang seimbang


TAHUN 2011 baru menjengah bulan keempat tetapi nama penyanyi yang seorang ini terus hangat diperkatakan. Hangatnya nama Misha Omar dalam tempoh empat bulan ini bukanlah kerana buah tangan terbarunya tetapi adalah kerana isu perkahwinannya yang tidak henti menjadi bahan perdebatan.

Misha sendiri keliru apabila memikirkan pelbagai kisah peribadinya yang terus mahu ditelanjangkan oleh pihak-pihak tertentu sepanjang sembilan tahun menjadi anak seni.

Sehinggakan Misha sudah lelah dan hilang nafas untuk terus mempertahankan dirinya.

Baginya, perkahwinan itu adalah sesuatu yang cukup indah dan wajar untuk dikongsikan dengan semua pihak tanpa perlu menyorokkan apa-apa.

“Saya sebenarnya tidak menafikan yang saya kenal rapat dengan individu yang dikatakan sudah menjadi suami saya itu. Tetapi, saya belummenjadi isteri kepada mana-mana lelaki.

“Namun, saya akui kini sedang mengenali seseorang. Tetapi, sampai saat ini, saya belum menjadi tunangan sesiapa.

“Saya sendiri pun tidak mahu lagi memanjangkan isu ini kerana semakin banyak yang saya perkatakan, ia tidak akan berhenti. Biarlah apa orang nak kata kerana apa yang berlaku hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu.

“Percayalah, saya pasti akan mengumumkan mengenai perkahwinan saya apabila tiba waktunya,” katanya dalam nada diplomasi sambil mengharapkan isu itu akan terus lenyap ditelan waktu.

Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar berkata demikian pada majlis pelancaran album kompilasi, Dia...Misha yang berlangsung di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Perjalanan warna-warni

PENYANYI berusia 29 tahun yang bakatnya mula dicungkil menerusi pertandingan Bintang RTM 2001 ini sememangnya memiliki bakat yang tersendiri.

Biarpun tewas kepada Azharina Azhar untuk merebut gelaran juara, Misha bertuah kerana ditemukan dengan komposer, Adnan Abu Hassan.

Hasilnya, lagu Bunga-Bunga Cinta telah memasyhurkan nama Misha sehingga bertahan selama sembilan tahun di dalam industri.

Di kala penyanyi seangkatannya hilang entah ke mana dan kemunculan artis-artis baru terutamanya dari program realiti, Misha masih lagi kekal dan terus menjadi pujaan peminat setianya yang tidak pernah henti menyokong kariernya selama ini.

“Selama sembilan tahun, saya boleh sifatkan perjalanan seni saya cukup seimbang. Semuanya sudah saya tempuhi dan rasai. Baik di depan, ke tengah, ke belakang, kanan dan kiri.

“Alhamdulillah, saya masih di sini untuk menghiburkan masyarakat dan peminat yang masih belum lelah serta bosan untuk mendengar alunan lagu-lagu saya (ketawa),” ujarnya penuh optimis sambil melirik ke arah kakak yang juga pengurusnya, Mimie Omar di sebelahnya.


*UTUSAN

Kesengsaraan Pengasas Jamu Mak Dara Dipentaskan

Teater Mak Dara Nyonya bakal mengisahkan tentang perjalanan hidup susah senang ibu Halimah dan Nyonya. Foto MUHAMMAD AKIF

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan penerbitan teater autobiografi Tun Mahathir, kini CTRA Production bakal mengadakan pementasan Teater Mak Dara Nyonya yang bakal berlangsung pada 6 hingga 12 Julai depan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, di sini.

Teater di bawah kerjasama Matic dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengisahkan tentang perjalanan dan kesengsaraan hidup pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah serta kisah seorang nyonya dari Indonesia.

Menurut penerbitnya, Siti Rohayah Attan, bajet teater yang ditaja oleh Jamu Mak Dara Sdn Bhd itu merupakan yang termurah berbanding penerbitan teater-teater lain apabila ia hanya mengeluarkan kos sebanyak RM250,000 sahaja.

"Sebenarnya teater ini bukan untuk komersial ataupun mengaut keuntungan kerana kami sasarkan untuk membuat pementasan berskala kecil.

Sarimah dan Misha merupakan antara pelakon popular yang bakal menjayakan Mak dara Nyonya.

"Tambah pula ia tidak membabitkan peralatan pentas yang banyak. Sebaliknya teater ini lebih kepada mutu lakonan setiap watak yang menjayakannya.

"Bagaimanapun, kami masih lagi mencari penaja untuk memeriahkan lagi teater ini," katanya.

Tambah Rohayah, pihaknya telahpun mempunyai barisan pelakon bagi menjayakan teater tersebut, cuma masih lagi mecari pelakon sesuai bagi memegang watak Mak Dara.

Antara pelakon yang bakal muncul dalam teater tersebut ialah Misha Omar yang membawa watak Keponakan C, Sarimah Ibrahim (Keponakan B), Khatijah Tan (Keponakan A), Tania Zainal (Nyonya) dan Zaifri Husin (Tuan).

Setakat ini, Rohayah hanya membayangkan Ziana Zain dan Juhara Ayob yang sesuai memegang watak Mak Dara.

"Bagaimanapun, setakat ini kami belum memutuskan apa-apa atau berbincang dengan mana-mana pelakon lagi," ujarnya.

Tiket untuk menyaksikan Teater Mak Dara Nyonya ini boleh didapati dengan harga RM32, RM52 dan RM82. Untuk keterangan lanjutsila hubungi 03-41478600, 012-2977220 dan 013-6293825.

*mStar Online

Dia...Misha


Album himpunan lagu-lagu popular nyanyian penyanyi tersohor Misha Omar ini diberi judul Dia..Misha yang antara lain memuatkan kesemua 8 buah lagu single penyanyi ini yang pernah menginjak tangga pertama carta-carta muzik Malaysia sejak tahun debut pada 2002. Juga memuatkan beberapa buah lagu popular Misha yang lain.

Album ini ditambah lagi dengan 2 buah lagu baru berjudul Berlalu & Detik Antara Waktu serta sebuah lagu nyanyian asal kugiran Alleycats ciptaan sifu Misha sendiri, M.Nasir yang berjudul Kerana. Majlis pelancaran album kompilasi ini telah diadakan di Celebrities Hall of Music, Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 28 Mac 2011.


SENARAI LAGU

1. "Berlalu" Ad Samad / Wain Gideon
2. "Kerana" M. Nasir / M. Nasir
3. "Detik Antara Waktu" Kuncidemak / Kuncidemak
4. "Bunga-bunga Cinta" Adnan Abu Hassan / Adnan Abu Hassan
5. "Nafas Cahaya" Loloq / M. Nasir
6. "Cinta Adam dan Hawa" Loloq / Azmeer
7. "Pulangkan" Habsah Hassan & Shuhaimi Baba / Ajai
8. "Ku Seru" Habsah Hassan & Shuhaimi Baba / Ajai
9. "Dedebu Cinta" Ucu / Azlan Abu Hassan
10. "Riwayat Cinta" Roslenn Fadzil / Ajai
11. "Tiada Lagi Tangisan" Adnan Abu Hassan / Adnan Abu Hassan
12. "Halaman Cinta" Mohariz Yaakup / Adnan Abu Hassan
13. "Lilitan Asmara" Misha Omar & Adnan Abu Hassan / Adnan Abu Hassan
14. "Sampai Disini" Roslenn Fadzil / Ajai
15. "Jawapanmu" Nurfatima / Cat Farish
16. "Sembunyi" Loloq / Aidit Alfian

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin