







PETIKAN DARIPADA MINGGUAN (23/08/09)
PETANG Rabu lepas kebetulan Niezam terbuka laman sembang Facebook dan terbaca keluhan Mimie, kakak kepada penyanyi Misha Omar. Dalam ruangan komen status itu Mime menegur seorang artis supaya jangan membuat fitnah terhadap dia dan juga adiknya itu.
Pagi Khamis lalu ada orang sampaikan cerita sebenar kepada Niezam.
Kata sumber itu, memang elok pun kalau Mimie nak naik angin terhadap pengacara tersebut kerana tergamak melemparkan fitnah dan memburuk-burukkan mereka dua beradik. Masa dia orang ada tak berani nak buka mulut bila dia orang dah “blah”, terus dia mengomel macam-macam.
Kisahnya macam ni! Dalam satu rakaman sebuah rancangan televisyen, Misha diundang sebagai tetamu bagi menjayakan rancangan itu.
Artis wanita yang dimaksudkan adalah pengacara rancangan berkenaan.
Misha dan Mimie sampai ke studio pada waktu yang ditetapkan tetapi mereka tidak boleh nak tunggu lama. Selepas rakaman selesai mereka mendapatkan izin daripada penerbit untuk beredar kerana ada urusan lain yang perlu dihabiskan. Penerbit pula tak ada masalah dan bagi kebenaran.
Sedihnya selepas dia orang angkat beg, pengacara ni macam tak puas hati. Dia membebel dalam studio sambil perli dan buat cerita yang bukan-bukan.
“Misha tu okey tapi kakaknya pula yang lebih-lebih. Belum apa-apa dah nak balik. Susah la kalau ada artis macam ni.
“Lain kali kita kena tengok dulu latar belakang artis sebelum panggil ke studio. Dah banyak kali dah aku dengar dia orang suka buat perangai. Dahlah tu tak ada disiplin,” lebih kurang macam tu bunyinya si pengacara mengomel di depan orang ramai.
Menurut sumber itu lagi perbuatan pengacara tu pun tidak disenangi oleh beberapa tetamu lain yang datang menyaksikan rakaman tersebut.
Bukan apa dia orang tak tahan dengar suara bingit si pengacara yang dah macam makcik-makcik.
Khabarnya perbuatan pengacara itu disampaikan pula seseorang kepada Misha dan Mimie.
Masa Niezam berborak dengan Mimie, dia tak mahu komen panjang. Alasannya tak nak gaduh-gaduh. Apatah lagi sekarang ni bulan puasa.
Cuma dia terkejut dengan perbuatan pengacara tersebut sedangkan mereka dua beradik tidak pernah buat salah terhadapnya. Mimie sedih dituduh tidak berdisiplin sedangkan mereka datang mengikut segala jadual yang diberi dengan baik.
Mungkin dia cemburu kut sebab sekarang ni Misha dapat banyak projek sebagai pengacara dengan RTM. Apa yang Niezam harapkan si pengacara tu dapatlah jaga sikit mulut dia. Bukan apa, dunia hiburan ni kecil, balik-balik benda yang tak baik tu akan sampai juga kat telinga orang lain.
MISHA OMAR ketawa panjang bila bercakap tentang 'angin lintang' dia akan segera berumah tangga. Katanya, sejak usia melewati 25 tahun, sudah beberapa virus gosip bertebaran. Tetapi tidak satu pun mampu menjangkitinya.
Namun saya kata, kali ini virus tersebut bukan lagi virus yang biasa. Kalau sudah sampai pergi mencari dewan, melihat pakej perkahwinan dan meninjau menu makanan, usaha ke arah alam perkahwinan sudah mencapai fasa tertinggi.
Individu yang memang dalam proses menuju kemuncak itu sahaja yang akan berbuat demikian. Maka jangan mahu menafikan lagi virus yang bertebaran itu.
Gadis Kelantan berusia 27 tahun ini hanya ketawa mengekeh-ngekeh menampakkan barisan gigi yang masih rapi dipeluk pendakap gigi. Dia kemudian mula melontarkan hujah-hujahnya - seperti selalu, bernas dan realistik.
Dia tidak menafikan telah membuat persediaan tersebut. Sebagai seorang dara yang hatinya sudah diikat dengan cinta seorang teruna, apatah lagi memang sudah bercadang untuk menikahi lelaki tersebut, membuat persediaan perkahwinan pasti diutamakannya.
Sementelah majlis perkahwinan memerlukan kos yang tinggi dan melibatkan banyak pihak. Misha pula tidak suka membuat kerja pada saat akhir.
"Saya tak nafikan saya membuat tinjauan tentang majlis perkahwinan. Memang saya nak kahwin, tapi bukan pada tarikh atau bulan Februari seperti yang digembar-gemburkan," katanya serius.
Diasak persoalan perkahwinan tersebut akan diadakan pada tahun hadapan, Misha perlahan memberitahu: "Kalau diizinkan Tuhan, memang kami mahu bernikah pada tahun hadapan.
"Sebab itu saya sudah bersedia meninjau semua keperluan agar berada dalam bajet yang betul. Tapi saya tak mahu bercakap lebih itu kerana lambat lagi untuk sampai ke tahun depan. Macam-macam boleh terjadi."
Mengimpikan sebuah majlis sederhana disulam aroma tradisional dan sedikit taman, Misha kala ditanya siapa sebenarnya gerangan arjuna yang berjaya mencuri hatinya, pantas memberitahu dia bukan daripada kalangan teman satu industri.
Katanya, tidak mahu pening kepala kelak berkahwin dengan teman seperjuangan. Kerdipan glamor dan tohmahan yang lebih hebat apabila berkahwin sesama artis selalu membuat Misha berfikir dua kali untuk jatuh cinta dengan lelaki sebegitu.
Cukuplah dia menjalin cinta dengan orang biasa. "Lebih menarik sebab saya dapat mengenal dunia lain daripada industri seni. Jadi boleh berkongsi pengalaman yang berbeza," katanya lagi.
Misha lantas memberi gambaran tipis tentang pemujanya yang telah menjadi pendampingnya sejak beberapa tahun lalu. Dia seusia Misha yang kerjayanya memerlukan dia selalu berada di awan biru. Tetapi di mata gadis ini, dia cukup luar biasa.
Kasih sayang, sifat memahami, toleransi dan menerima dirinya di luar kulit glamor serta paling penting, banyak melengkapkan kekurangan dirinya telah mengunci hatinya untuk cuba bermain cinta dengan lelaki lain.
Stigma hitam anak seni
Tetapi bila saya usik bahawa kebarangkalian dia harus berhadapan dengan stigma keluarga bakal pasangan hidupnya tentang dunia anak seni yang selalunya dianggap penuh sisi hitam, Misha memberi jawapan yang positif.
Dia optimis mengatakan bahawa stigma itu wujud. "Tapi biasanya persepsi itu datang pada perkenalan pertama. Kita pun tak boleh nak salahkan mereka kerana banyak cerita negatif yang menjadi bahan tatapan.
"Namun, dalam masa yang sama, saya menolak kalau ada yang beranggapan bahawa anak seni ini rosak semuanya atau tidak bijak.
"Setiap manusia, dalam apa juga lapangan kerjaya mereka ada pancaroba dan tidak ada manusia yang sempurna," jawab Misha berhati-hati.
Terlanjur berbicara tentang perkahwinan dan Misha menjadi cover story Sensasi Bintang yang pertama pada bulan Ogos ini, bulan kemerdekaan atau kebebasan, sengaja juga saya 'racun' bahawa ikatan perkahwinan membuat seseorang itu tidak bebas. Terikat dan harus komited.
Tetapi pantas dijawab pemilik suara lunak yang terkenal dengan untaian lagu cinta seperti Cinta Adam Dan Hawa dan Bunga-Bunga Cinta ini dengan jawapan yang kontra tetapi yakin.
Jawab Misha, perkahwinan bukan satu kekangan. Sebaliknya perkahwinan adalah lambang kebebasan. Pada persepsi Misha: "Inilah fasa kita bebas daripada keluarga dan hidup berdikari dengan membina sebuah keluarga sendiri.
"Adakah kita mampu menyelusuri kehidupan berumah tangga atau sebaliknya, itu tanggungjawab kita."
Sehingga mahu menghabiskan temu bual ini, saya amati, bicara Misha kali ini begitu penuh dengan perasaan cinta. Bagai melimpah ruah. Dia angguk yakin bila disoal berkali-kali tentang keputusannya mahu berkahwin tahun hadapan.
Saya bayangkan jika impian berkahwin tahun depan gagal, bagaimana Misha?
Atau tidak terlalu awalkah untuk bercakap tentang isu ini pada saat namanya harum dalam industri selepas dijulang dalam Anugerah Industri Muzik (AIM), tawaran berlakon yang mencurah selain makin serasi sebagai hos Sehati Sejiwa di RTM1?
Tak akan cuci tangan
Tapi Misha tetap penuh dengan jawapan. Dia jawab, pada usia 27 tahun, perkahwinan itu hampir dekat kepadanya. Itu usia yang boleh dikira matang untuk berkahwin, katanya lagi.
Sementara pada isu impian perkahwinan yang gagal, gadis ini menyimpulkan, setiap manusia harus ada mimpi kerana melalui mimpi ia membakar semangat untuk menjadikannya realiti. Jadi doakan sahaja yang terbaik buat dia menggapai impian tersebut.
Balasnya tentang impian yang barangkali akan membuat kerjayanya tercicir: "Saya kira semua orang mempunyai komitmen untuk hal peribadi. Begitu juga saya. Saya tidak akan cuci tangan hanya kerana mengikat diri dengan komitmen lain. Ini darah daging saya.
"Paling penting, saya tahu, lelaki pilihan saya memahami saya. Dia cinta mati saya." Bicara kami tamat.
Sejauh mana kebenaran cerita ini? Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Adam & Hawa ini tidak terkejut apabila diminta menjelaskan kebenaran gosip yang diperkatakan itu.
Malah, Misha yang kini menjadi pengacara Sehati Sejiwa di RTM tidak menafikan ada membuat tinjauan dan bertanya kawan-kawan mengenai katering untuk majlis kahwin.
"Kebetulan ramai rakan saya sudah berkahwin tahun lepas termasuk teman rapat saya sendiri.
"Ada di kalangan mereka menasihatkan saya, kalau mahu kahwin lebih baik buat kajian dan merancang dari awal. Sebabnya majlis perkahwinan sekarang sudah jadi satu perniagaan dan kosnya mahal.
"Ditambah pula sekarang ini saya mengacarakan program Sehati Sejiwa dan ia membangkitkan rasa ingin tahu. Sebab itulah saya ada buat pertanyaan dengan beberapa pihak katering.
"Salah satunya Kuzi Catering, jurumekap dan pereka fesyen, tetapi semua itu hanya sekadar untuk pengetahuan saja.
"Langsung tiada kena-mengena dengan isu ingin mendirikan rumah tangga sebagaimana di uar-uarkan. Demi Allah, tiada majlis akan dilangsungkan pada Februari ini.
"Lagipun, tiada yang istimewa mengenai Februari yang boleh dikaitkan dengan saya. Kalau benar mahu berkahwin, tentu saja memilih tarikh yang bermakna dalam hidup saya. Misalnya Januari kerana bakal meraikan ulang tahun ke-28," katanya.
Apapun Misha tidak menafikan hatinya sudah dimiliki. Jejaka bertuah seusia dengannya itu adalah sahabat lama yang dikenali melalui teman-teman sekolahnya dulu.
Mereka berkongsi minat dan semangat yang sama dan inilah membuatkan perasaan cinta mudah terjalin.
|
Malah, teman lelaki Misha turut memahami dan menerima status penyanyi yang melonjak dengan lagu Bunga-Bunga Cinta ini sebagai ibu (angkat) kepada Muhammad Adam Emie, 3, yang dijaganya sejak kecil.
Mengenai panggilan istimewa Adam terhadap teman lelakinya itu, Misha enggan mendedahkannya.
Katanya, apa yang pasti Adam memanggil teman lelakinya itu dengan gelaran yang dihormati.
"Kalau boleh saya tidak mahu bercerita soal peribadi terlalu banyak kerana enggan membuatkan keluarga teman lelaki berasa tidak selesa.
"Maklumlah, teman lelaki saya yang baru menamatkan pengajiannya dan baru saja hendak memulakan karier.
"Jadi saya tidak mahu apabila perkara sebegini dibangkitkan, seolah-olah saya mendesaknya.
"Sebab itulah saya keberatan hendak bercerita mengenai 'survey' yang saya buat. Saya takut bila artikel ini disiarkan nanti, dikatakan cuba memberi tekanan walhal seperti sudah dimaklumkan, saya lakukan itu hanya sebagai pengetahuan," katanya.
Bersedia melangkah ke alam perkahwinan, namun Misha lebih senang sekiranya pihak lelaki yang memperkatakan hal ini.
Misha juga menafikan isu kononnya dia sebenarnya sudah pun mendirikan rumah tangga.
"Setiap perkahwinan perlu didaftarkan. Kalau saya sudah berkahwin, pasti ada bukti. Isu berkahwin ini, sebenarnya saya dah lali kerana sejak dulu lagi ia diperkatakan.
"Entahlah, mengapa orang selalu ingat saya sudah berkahwin. Malah, ada yang kata dulu saya menyepi kerana melahirkan Adam.
"Mungkin kerana saya nampak matang sehingga mereka membuat pelbagai spekulasi.
"Kalau benar saya kahwin pasti orang kampung dah bercakap. Mungkin emak ayah saya pun dah lama tinggalkan kampung kerana panas dengan cakap-cakap orang. Iyalah, orang tua mana tidak malu kalau anak berkahwin secara rahsia.
"Tapi tidak kisahlah apa orang hendak kata, yang pasti saya belum kahwin dan sebagai wanita normal, tentu saja ingin berkahwin dan mempunyai keluarga. Cuma jodohnya belum tahu bila," katanya.
Mengenai kerjaya seni, Misha yang menang Lagu Terbaik (Nafas Cahaya) ciptaan M Nasir dan Allahyarham Loloq pada Anugerah Industri Muzik ke-16 Mei lalu berkata, ketika ini dia sibuk mengendalikan program Sehati Sejiwa terbitan TV1.
"Seperti biasa, persembahan pentas masih diteruskan sebagaimana sebelumnya. Jika tidak, dunia saya adalah di rumah, bermain dengan anak dan saya menjalani kehidupan sama saja sebagaimana orang lain.
"Mengenai perancangan album, saya hanya menunggu kata putus dari syarikat rakaman," katanya.
Selain itu, dia yang tercalon sebagai finalis Artis Wanita Terbaik, Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 dijangka memeriahkan majlis itu di Jakarta, Indonesia pada 18 Julai ini.
BAGAI menjadi satu kesalahan besar apabila menjadi seorang Misha Omar. Ada-ada sahaja pihak yang berperasaan hasad-dengki dan busuk hati mempertikaikan kembara seni yang dirintisnya sejak tujuh tahun lalu.
Terbaru kemenangan Misha, 27, dalam Anugerah Industri Muzik 16 (AIM16) dikatakan sedikit sebanyak bakal mengubah sikapnya menjadi penyanyi si hidung tinggi.
Umum mengetahui, Misha berjaya menguasai empat kategori utama yang dipertandingkan iaitu Lagu Terbaik Sepanjang Tahun, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Pop Terbaik dalam AIM16 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur 2 Mei lalu.
Semuanya muncul dengan pantas setelah Misha memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun 2004. Sejak itu timbul semula gosip dia mula berubah sikap. Kemenangan Misha pada AIM16 terbaru itu, menambah lagi perisa kepada tuduhan yang sama dan Misha turut dikhabar dihimpit kembali 'badi' yang pernah menimpanya sekitar lima tahun lalu.
Terasa diri hebat, besar kepala dan bersikap selektif. Itu semua dihadapkan terus kepada empunya diri, tanpa ada sedikitpun perasaan ihsan dan belas kasihan.
TUJUH tahun berada dalam industri seni jelas mematangkan diri seorang Misha. |
Kelihatan tercengang-cengang mendengar kata-kata tersebut, Misha mula larut dalam pengakuannya, sekali gus memberitahu dia tidak pernah terdengar hamburan tentang dirinya bersikap selektif.
"Ini kali pertama saya dengar," jawabnya ringkas sambil memperlihatkan wajah sedikit kehairanan ketika ditemui pada pelancaran Derrick & Team Hairdressing di The Mall, Kuala Lumpur.
Luah penyanyi yang didaftarkan nama penuh oleh ayahanda dan bonda sebagai Samihah @ Aisah Omar, andai benarlah apa yang dikritik maka tubuh kecilnya tidak mampu untuk memuaskan pandangan semua pihak.
Lebih penting jelas Misha, dia selalu berfikiran positif dan optimis dengan peralihan waktu yang tidak pernah terhenti.
Sekadar beranggapan kenyataan tersebut ibarat aura yang tidak baik untuk dirinya, Misha mencuba memperbetulkan tohmahan pihak tertentu yang ingin 'membenamkan' dirinya.
"Saya menganggap kemenangan dalam satu-satu majlis penganugerahan disebabkan atas kerja keras diri sendiri dan orang-orang yang terlibat di sebalik tabir album.
"Secara peribadi saya merupakan seorang artis yang sederhana. Kemenangan di AIM16 baru-baru ini memang cukup membanggakan kerana saya akhirnya diiktiraf setelah angka tujuh menunjukkan saya berada dalam industri seni.
"Tiada istilah saya akan terkena kejutan budaya. Jika awal pembabitan dalam dunia glamor, barangkali saya akan mengalami perasaan itu, tetapi ia tidak terjadi kepada saya.
"Kalau soal saya berubah sikap selepas ini terus menjadi buah mulut orang ramai maka saya tidak tahu apa lagi yang harus dibuat untuk jelaskan kepada mereka. Tempoh tujuh tahun sudah 'senja' untuk saya besar kepala," jawabnya yang tidak mudah tewas melawan badai.
Menjelaskan pengertian selektif kata Misha, sikap selektif hanya berlaku dalam perkara yang membabitkan hasil kerja terutama penghasilan album.
|
|
"Sudah tentulah kalau hendak hasilkan album tidak boleh terburu-buru dan mengamalkan sikap asal boleh sahaja.
"Biarlah sesebuah album ini membuatkan saya rasa bangga walaupun ia sudah menjangkau usia 30 tahun. Bahkan saya tidak malu untuk mengakui bahawa ini adalah album saya.
"Sebab itu, saya kena bikin album dengan sebaik-sebaiknya. Walaupun terpaksa tunggu setahun atau dua tahun untuk mencari material, komposer dan penerbit, saya rela menunggu dengan penuh sabar.
"Cuma tidaklah mengambil masa selama empat tahun," terang ibu segera kepada Muhammad Adam Emir.
Kini bergelar usahawan
Cintanya kepada nyanyian memang tidak perlu dipersoalkan lagi. Namun untuk menjadi anak seni, tidak bermakna hanya nyanyian yang menjadi jalan hidupnya.
Beritahu Misha, dia harus berani mencuba, berani memberi peluang kepada diri untuk menjalani pengalaman baru dan mengambil risiko untuk berdepan dengan dunia yang lebih global sifatnya.
Misha mula melangkah kaki ke dalam dunia perniagaan yang berkonsepkan salon dandanan dan penjagaan rambut bersama Derrick & Team Hairdressing.
"Ini menjadi permulaan untuk saya melibatkan diri dalam dunia perniagaan bersama rakan karib yang sudah saya kenali sejak tujuh tahun lalu, Derrick Ho.
"Sekurang-kurangnya saya sudah ada perancangan untuk masa depan sendiri yang tidak diketahui bagaimana situasinya.
"Derrick sudah beberapa kali mengajak saya untuk menjadi rakan kongsinya tetapi saya masih belum terfikir pada waktu itu.
"Lama-kelamaan saya rasa tiada salahnya kerana setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan ada sahaja pelanggan yang potong, cuci dan melakukan rawatan rambut.
|
|
"Ada orang yang berada dalam tekanan akan pergi merehatkan diri di spa, sebab itu saya percaya ada juga orang yang sanggup berhabisan untuk rambut mereka," terang Misha.
Sambung Misha lagi, dunia seni dan perniagaan masing-masing ada fokusnya yang tersendiri. Oleh itu dia masih dalam proses mempelajari aspek perniagaan.
"Saya tidak mahu orang cakap hanya nampak saya semasa hari pelancaran salon ini tetapi tidak pula hari-hari seterusnya.
"Saya memang berazam untuk jadi rakan kongsi yang bertanggungjawab. Walaupun tidak mengetahui selok-belok dunia bisnes namun saya tidak kisah untuk belajar daripada bawah.
"Cara ini bukan sahaja akan mendekatkan saya dengan bidang ini tetapi juga boleh merapatkan hubungan dengan para peminat.
"Barangkali saya boleh mencuci rambut pelanggan pula selepas ini kerana saya juga pernah belajar daripada Derrick," jawabnya sambil tergelak manja.
Misha menerima penghormatan oleh Derrick bagi merasmikan pembukaan salon tersebut.
Ia menjadi salon kelima milik Derrick & Team dan cawangan di tingkat tiga The Mall menjadi salon pertama yang membabitkan perkongsian perniagaan Misha dan Derrick.
Misha bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah peratusan perkongsian bisnesnya dengan pendandan rambut yang terkenal di kalangan artis dan pelanggannya.
|
DAKWA Misha, dia tidak sesekali lupa diri walaupun sudah mengecap kejayaan. |
Dalam pada itu, Misha juga sedang merencana masa depannya untuk melibatkan diri dalam bisnes makanan.
"Walaupun tidak direalisasikan dalam waktu terdekat namun angan-angan ini sudah lama saya simpan. Semua bergantung kepada rezeki," ujarnya bersungguh-sungguh.
Kolaborasi bersama budak indie
Tempoh empat tahun bertemankan rindu tanpa karya bernama album, anak kelahiran Machang, Kelantan itu mengakui ia memang menjadi jangka masa agak panjang.
"Saya sedar empat tahun bukan masa yang singkat. Sebelum ini graf kerja penghasilan album Misha 2008 dilakukan dalam kadar masa yang perlahan sebelum ia boleh dipasarkan kepada peminat.
"Sekarang saya mula tahu bagaimana untuk mempercepatkan proses pembikinan album seterusnya sebab saya sudah ada keserasian dengan komposer-komposer dan penerbit.
"Sebelum ini saya sering berharap. Tunggu dan tunggu demi mahu bekerjasama dengan nama-nama hebat dalam industri seni di negara ini.
"Untuk album keempat nanti saya teringin untuk melakukan kolaborasi dengan pemuzik indie dan muka-muka baru.
"Saya sudah minta lagu daripada Noh Hujan malah saya juga tertarik dengan bakat baru seperti Yuna. Cuma saya belum berhubung lagi dengan dia. Selebihnya saya juga mahukan M. Nasir, Cat Farish dan Nurfatima.
"Jangan risau kerana saya tetap tidak mahu berubah arah kepada muzik lain, sebaliknya saya tetap akan muncul dengan genre muzik pop komersial," jelasnya yang dilahirkan pada 6 Januari 1982.
|
MISHA kini bergelar usahawan dalam bidang dandanan rambut. |
Ditanya apakah yang cuba untuk dibuktikan dalam album selanjutnya itu, Misha lekas menjawab bahawa dia mahukan lagu-lagu yang terkandung dalam naskhah baru itu diadun dengan bermacam-macam warna.
"Muzik bukanlah agama, tetapi sifatnya menjurus sebagai universal. Kita bebas untuk bekerjasama dengan sesiapa yang dihajati tanpa mengira baru mahupun lama.
"Kita tidak boleh terus selesa dengan konsep yang sudah dimiliki sekarang sebaliknya perlu menampilkan pembaharuan.
"Saya tidak boleh kekal dengan konsep lagu seperti Bunga-Bunga Cinta kerana orang sekeliling tidak akan melihat kreativiti seseorang penyanyi. Kerana itulah saya ada lagu Pulangkan dan saya cuba menonjolkan irama etnik dengan M. Nasir menerusi Nafas Cahaya.
"Untuk album seterusnya saya hendak 'paksa' M. Nasir buat lagu balada pula. Saya senang bekerja dengan figura berbakat besar sepertinya.
"Dia (M. Nasir) memahami saya dengan mendalam. Contohnya semasa buat rakaman lagu Nafas Cahaya. Kalau rasa tidak enak didengar, dia akan terus cakap kepada saya tanpa berselindung. Senang sekali kalau dapat bekerja lagi dengan M. Nasir selepas ini," akhiri Misha bersungguh-sungguh.
Persembahan vokal terbaik dalam lagu (artis baru lelaki)
Afgan dengan album Terimakasih Cinta, Aizat (Hanya Kau Yang Mampu), Dirly (Sampai Keujung Dunia), Lobow (Kau Cantik Hari Ini) dan Nubhan (Ada Untukmu).
Persembahan vokal terbaik dalam lagu (artis baru wanita)
Aura Kasih dengan album Mari Bercinta, Ayu (Hanya Di Mercu), Cinta Laura (Oh Baby), Nana (Lafaz), Stacy (Aku Stacy) dan Yuna (Dan Sebenarnya).
Persembahan vokal terbaik dalam lagu (dua atau kumpulan baru terbaik)
D'Masiv dengan album Cinta Ini Membunuhku, Hello (Ular Berbisa), Hujan (Pagi Yang Gelap), Kotak (Masih Cinta) dan ST12 (Puspa).
Kolaborasi terbaik dalam lagu
(a) Lagu Be Te oleh artis, Dewiq feat Ipank, penulis lagu: Pay & Yudi, dan penulis lirik: Dewiq; (b) Bersamamu (Artis: Joe Flizzow feat Joeniar Arief, penggubah lagu (songwriter): Johan Ishak, Joeniar Arief, Koko & Syaheed, dan penulis lirik: Johan Ishak, Joeniar Arief, Koko & Syaheed); (c) Hikayat Cintaku (Artis: Glenn feat Dewi Persik, penggubah lagu: Glenn Fredly, dan penulis lirik: Glenn Fredly); (d) Kepadanya (Artis: Taufik Batisah feat Hady Mirza, penggubah lagu: Taufik Batisah, dan penulis lirik: Taufik Batisah); (e) Mantera Beradu (Artis: Malique feat M. Nasir, penggubah lagu: Malique, D'Navigator & M. Nasir, dan penulis lirik: Malique & M. Nasir) dan (e) Sujud (Artis: Mawi & KRU, penggubah lagu: Edry, dan penulis lirik: Edry).
Artis lelaki terbaik
Afgan dengan album, Confession No. 1, Aizat (Percubaan Pertama), Reshmonu (Harapan), Taufik Batisah (Suria Hatiku) dan Tompi (My Happy Life).
Artis wanita terbaik
Bunga Citra Lestari dengan album, Tentang Kamu, Misha Omar (Misha Omar), Mulan Jameela (Mulan Jameela), Nikki (Hawa) dan Siti Nurhaliza (Lentera Timur).
Duo atau kumpulan terbaik
Andra & The Backbone dengan album, Season 2, Hujan (Hujan), Kotak (Kedua), ST12 (Puspa) dan Yovie & Nuno (The Special One).
Lagu terbaik
(a) Dia Milikku dengan album The Special One, artis: Yovie & Nuno, penggubah lagu: Yovie Widianto dan penulis lirik: Yovie Widianto. (b) Laskar Pelangi (Album: OST Laskar Pelangi, artis: Nidji, penggubah lagu: Nidji dan penulis lirik: Giring) (c) Matahariku (Album: - , artis: Agnes Monica, penggubah lagu: Pay & Dede dan penulis lirik: Yuan Passer) (d) Pagi Yang Gelap (Album: Hujan, artis: Hujan, penggubah lagu: Noh Hujan dan penulis lirik: Noh Hujan) (e) Terimakasih Cinta (Album: Confession No 1, artis: Afgan, penggubah lagu: Mario Tobing dan penulis lirik: Mario Tobing) dan (f) Terserah (Album: Private Collection, artis: Glenn Fredly, penggubah lagu: Glenn Fredly dan penulis lirik: Glenn Fredly)
Album terbaik
Confession No. 1 oleh artis, Afgan dan produser: Tessy DJ & Fajar PJ Maringka; Hujan (Artis: Hujan, Produser: Tessy DJ & Fajar PJ Maringka); Kedua (Artis: Kotak, Produser: Pay); Percubaan Pertama (Artis: Aizat, Produser: Dato Amdan, Mujahid & Aizat); The Special One (Artis: Yovie & Nuno, Produser: Yovie Widianto & Jan Djuhana).
Artis Singapura paling popular - berdasarkan SMS
Aliff Aziz, Didicazli, Fauzie Laily, Hady Mirza, Hyrul Anuar, Imran Ajmain, Merah, Nurun Nuwarrah, Sleeq, Taufik Batisah, The Sallys dan Zaibaktian.
Artis Malaysia paling popular berdasarkan SMS
Aizat, Anuar Zain, Bunkface, Estranged, Faizal Tahir, Hujan, Mawi, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, Siti Nurhaliza, Stacy dan Yuna.
Artis Indonesia paling popular berdasarkan SMS
Afgan, Agnes Monica, Bunga Citra Lestari, D'Masiv, Gita Gutawa, Hijau Daun, Kotak, Nidji, ST12, The Changcuters, Ungu dan Yovie & Nuno.
Artis serantau paling popular berdasarkan SMS
Singapura: Aliff Aziz, Ahlifiqir, Hady Mirza dan Taufik Batisah.
Malaysia: Faizal Tahir, Hujan, Meet Uncle Hussain dan Siti Nurhaliza.
Indonesia: Afgan, Agnes, Nidji dan ST12.
Lagu paling popular (Singapura) berdasarkan SMS
Andai oleh artis Merah, Berserah (Taufik Batisah), Gelora Jiwa (Raven), Impianku (Didicazli), Kau Ingin Ku Miliki (Nurun Nuwarrah), Lafaz (Nana), Lelaki Baru (Zaibaktian), Novela Cinta (Ross Revalina), Pilihan Aku (Sleeq), Rela Setia (Didicazli), Sementara (Cradle) dan Teman Istimewa (Taufik Batisah).
Lagu paling popular (Malaysia) berdasarkan jumlah muat turun
Lagu paling popular (Indonesia) berdasarkan jumlah muat turun.
Anugerah Cinta Planet Muzik - khas untuk artis atau organisasi yang memberikan sumbangan tanggungjawab sosial. Contohnya, artis, Zainal Abidin menjaga alam sekitar.
Anugerah Khas Planet Muzik - ditujukan kepada insan seni yang terus-menerus memberikan sumbangan terhadap industri muzik
"Setakat ini, Noh sudahpun memberi saya sebuah lagu ciptaannya kepada saya. Ia akan dimuatkan dalam album saya akan datang.
"Walaupun ia sebuah lagu indie, tetapi saya akan menyesuaikannya dengan suara dan konsep lagu-lagu pop," ujarnya lagi.
Bermula dengan menjadi rakan kongsi salun Derrick & Team
BENIH yang disemai selama tujuh tahun bergelumang dalam dunia nyanyian sudah pun dinikmati hasilnya dan kini, Misha Omar, 27, sedang berjinak-jinak pula untuk bergelar usahawan.
Memulakan langkah pertama dalam dunia perniagaan, Misha atau nama sebenarnya Samihah@Aishah menjalin usaha sama dengan salun Derrick & Team untuk cawangan kelimanya di The Mall.
Keserasian yang wujud antara pemiliknya, Derrick dan Misha yang terjalin seusia pembabitan penyanyi kelahiran Machang, Kelantan itu menyebabkan Derrick mempelawa penyanyi ini menjadi rakan perniagaan. Namun, penyanyi itu terpaksa menolaknya atas alasan belum bersedia untuk memberikan perhatian kepada bidang lain.
“Tujuh tahun Derrick mendandan saya iaitu sejak kemunculan pertama saya dalam industri ini. Setelah semakin serasi bersama, Derrick mempelawa saya menyertai perniagaannya tetapi saya terpaksa menolak kerana merasakan masanya belum sesuai untuk saya menceburi bidang perniagaan.
“Ketika itu saya masih terlalu baru dan belum mendapat gambaran sebenar kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon, jadi saya bimbang tidak mampu memberikan fokus terhadap perniagaan jika menceburi bidang itu. Kini selepas tujuh tahun, barulah keyakinan itu datang dan apabila sekali lagi Derrick mengundang, saya tidak lagi menolaknya kerana merasakan sudah tiba masanya untuk saya mencuba bidang lain selain hiburan.
“Buat masa ini saya hanya menjadi rakan kongsi untuk cawangan kelimanya di The Mall. Jika rezeki mengizinkan mungkin saya ingin melebarkan lagi perniagaan ini. Bagaimanapun terlebih dulu saya mahu mempelajari ilmu asas dandanan rambut, paling tidak belajar mencuci rambut kerana saya seorang yang sangat cerewet ketika mendapatkan khidmat cucian rambut” katanya yang turut bergelar Duta Derrick & Team.
Selain salun, penyanyi dan pelakon itu juga menyimpan angan-angan mengintai peluang perniagaan dalam bidang pemakanan untuk menguji sejauh mana keupayaan dan kelebihannya mengendalikan restoran.
“Perniagaan dalam bidang dandanan adalah satu permulaan baik sebelum saya mengintai peluang dalam perniagaan lain. Perniagaan ini juga dapat mendekatkan hubungan saya dengan peminat. Selain ke spa untuk merehatkan pemikiran dan badan, peminat boleh memilih salon untuk melepaskan lelah mereka.
“Selain salun, saya juga menyimpan hasrat membuka perniagaan makanan bagi meluaskan lagi empayar dalam bidang perniagaan,” katanya.
BIARPUN sudah seminggu berlalu, masih ramai peminat memperkatakan mengenai Anugerah Industri Muzik Malaysia Ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang berlangsung dalam suasana meriah, dengan banyak keputusan di luar jangkaan.
Ia termasuk kemenangan besar Misha Omar pada malam kemuncak itu apabila menguasai empat kategori utama yang dipertandingkan iaitu Lagu Terbaik Sepanjang Tahun, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Pop Terbaik.
Malah, kemenangan itu turut dianggap sebagai kebangkitan semula penyanyi berkenaan dalam industri muzik tanah air selepas menghasilkan album terakhirnya, Aksara, empat tahun lalu dan hanya cenderung mengeluarkan single sebelum ini.
Misha dalam pertemuan bersama B*Pop baru-baru ini, menyifatkan kemenangan itu sebagai detik bersejarah dalam perjalanan karier nyanyiannya yang bermula sebagai finalis Bintang RTM 2001.
"Inilah kejayaan terbesar sepanjang bergelar anak seni. Tidak pernah termimpi pun untuk mencatatkan kemenangan terbesar, lebih-lebih lagi membabitkan empat kategori utama dalam sebuah anugerah berprestij, khusus dalam mengiktiraf karya muzik tempatan," katanya.
Katanya, AIM sama sekali berbeza dengan majlis pengiktirafan lain yang dianjurkan dalam industri hiburan tanah air kerana ia lebih cenderung kepada aspek kualiti karya muzik dihasilkan, bukannya bersandarkan kepada populariti, malah penentuan pemenang dibuat oleh juri profesional.
"Sebab itulah, kebanyakan penggiat muzik kita, termasuklah penyanyi cukup berbangga apabila memenangi AIM. Malah, saya sendiri menunggu lama untuk mencatatkan kemenangan ini. Apa yang boleh saya katakan, penantian saya selama ini sudah terbayar.
"Malah, tidak sia-sia masa yang begitu lama diperuntukkan, begitu juga belanja besar yang terpaksa dikeluarkan untuk menyiapkan album ini... semua berbaloi. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kejayaan ini dan memberikan saya semangat untuk menghasilkan karya lebih berkualiti pada masa depan," katanya.
Walaupun mencatatkan kejayaan besar itu, ada sedikit rasa terkilan dalam diri penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini kerana tidak berpeluang memenangi Album Terbaik.
"Laluan memang sudah dekat, cuma tidak berpeluang. Mungkin belum rezeki saya agaknya. Bagaimanapun, nasib menyebelahi saya apabila Nafas Cinta diangkat sebagai Lagu Terbaik. Itu pun sudah cukup baik," katanya.