ENTAH di mana silap Misha Omar, tiba-tiba dirinya menjadi bahan penulisan yang kurang baik. Ini gara-gara hasil tajam tulisan penulis tidak bernama di laman blog yang barangkali tidak berpuas hati dengan sikap penyanyi itu.
Penulisan yang dicoretkan menunjukkan seolah-olah Misha hari ini adalah seorang artis yang semakin 'angkuh' setelah merantau ke Kuala Lumpur. Barangkali coretan itu tidak menyebut nama Misha secara langsung, tetapi apabila ada yang membacanya, akan terus faham bahawa segala kutukan itu dihamburkan kepada Misha.
Misha juga turut dikaitkan sebagai artis yang cuba 'mengutuk' artis lain, iaitu Siti Sarah dalam satu pertandingan nyanyian tidak lama dulu. Misha dikatakan hari ini sudah berlagak 'macam bagus' atau istilah biasa dalam industri hiburan ' berlagak Diva'.
Apa kata Misha mengenai kritikan terbaru tentang dirinya itu? Apakah Misha seperti biasa akan menganggap segala kata-kata itu tidak lebih hanya sekadar hamburan kosong atau kata-kata orang yang tidak boleh melihat kejayaan pihak lain?
Ketika menemui Misha di majlis pelancaran drama Julia Juli, Matahari dan Upik Abu dan Laura di Restoran Kunang-Kunang, Gombak, Kuala Lumpur, Misha menunjukkan reaksinya.
Meskipun dia cuba bertenang ketika menjelaskan perkara itu, riak mukanya kelihatan bahawa dia cukup terkesan dengan tuduhan itu. Misha menyifatkan dirinya menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Saya tak faham, apa yang membuatkan dia terfikir untuk menulis sedemikian rupa terhadap diri saya. Berkenaan dengan saya ketawakan pemakaian Sarah, itu semua salah sangka.
"Waktu itu saya duduk di barisan hadapan sekali bersama wartawan-wartawan yang duduk di belakang saya. Biasalah kalau berjumpa, kami akan bergurau senda, ketawa dan berbual tentang macam-macam perkara. Tetapi saya tidak sentuh langsung pasal artis lain apatah lagi untuk memburukkan mereka.
"Takkan saya nak memalukan diri saya dengan mentertawakan penyanyi itu? Salah ke kalau saya sekadar menikmati persembahan pada waktu itu? Takkan saya tidak boleh buat apa-apa dan perlu 'kontrol cun' memanjang?" soalnya.
Tambahnya lagi, dia langsung tidak terniat di hati untuk memburukkan sesiapa pun dalam industri termasuklah Siti Sarah.
Menurut Misha dia perlu membuat penjelasan ini supaya tidak ada pihak yang bersangka buruk terhadap dirinya. Secara jujurnya, kata Misha dia cukup rungsing memikirkan apa yang telah dilakukan terhadap dirinya oleh individu berkenaan yang sama sekali tidak dikenalinya itu.
"Bagaimanapun, penulis itu ada di dalam senarai rakan laman web Facebook saya. Sebelum ini, sesiapa yang mahu menjadi kawan dalam laman Facebook, saya akan terima. Dan penulis itu juga salah seorang dalam senarai rakan-rakan saya.
"Itu pun saya sedar selepas gambar saya berambut pendek yang diletakkan telah diambil untuk diletakkan pada blog penulis berkenaan," ujar Misha.
Bukan sahaja kesal dengan tuduhan itu, Misha juga merasakan dirinya telah 'diceroboh' secara salah oleh penulis blog tersebut dalam satu insiden di Konsert Hot FM Big Jam di Johor Bharu baru-baru ini. Waktu itu, dia benar-benar kesal apabila penulis tersebut telah mengambil gambarnya ketika sedang menyarungkan baju, tanpa kebenaran.
Kejadian itu membuatkan pengurusnya, Mimie Omar, menegur perbuatan penulis itu kerana Misha kurang senang diperlakukan demikian.
"Memang ketika saya menyarungkan baju, saya sememangnya sudah berbaju. Cuma apabila dia mengambil gambar tanpa memberitahu saya, entah macam mana rupa saya bila gambar itu dikeluarkan nanti.
"Maklumlah, melalui gambar, orang boleh berkata macam-macam dan saya tak mahu perkara sebegitu berlaku. Lepas itu, terus dia luahkan rasa tidak berpuas hatinya dalam blog dan menuduh saya berlagak Diva. Seolah-olah segala tindak-tanduk saya menjadi negatif.
"Saya faham, sebagai seorang penulis blog, mereka bebas untuk menulis apa sahaja yang diinginkan tetapi jangan terlanjur ikut perasaan," tegasnya.
Biarpun dia tidak terlalu mengambil pusing dengan isu tersebut, jangan terkejut apabila kes sebegini akan dibawa ke pihak undang-undang jika ia berlaku lagi dan mampu menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi.
"Awas, saya pun ada tahap kesabaran saya. Kalau saya bawa individu tersebut ke 'sekolah undang-undang' memang terkena padahnya.
"Setakat ini saya masih lagi mampu untuk menutup telinga biarpun hati ini berbekas. Jangan terlalu mudah memberi persepsi terhadap seseorang.
"Saya tahu, penulis blog mereka mempunyai pengikut dan saya puji dengan hasil kerja yang dilakukannya sebelum ini kerana menulis tentang industri hiburan kita. Tetapi janganlah menulis mengikut hati biarpun blog itu kepunyaannya," kata Misha.
Cubaan pertama berlakon drama
Pernah membintangi filem Gerah Khas 3 (2005) dan Main-Main Cinta (2006), Misha kini mahu mencuba 'angin' baru pula dengan berlakon drama.
Kata Misha, menjadi seorang pelakon juga adalah impiannya dahulu. Cuma dengan kesibukannya sebagai seorang penyanyi membuatkan keinginan untuk berlakon terbatas.
Namun, setelah mendapat tawaran daripada Tenview Sdn. Bhd. untuk memegang watak Julu dalam drama Julia Juli, Misha terus mengambil saja peluang yang ada di depan mata.
Drama pertamanya ini membuatkan sedikit perubahan dalam diri Misha tanpa disedari.
"Kalau nak tahu, saya seorang yang cepat marah. Tapi berlakon dalam drama ini membuatkan diri saya menjadi seorang penyabar ketika proses penggambaran.
"Selain itu, pengalaman penggambaran telah memperlihatkan sesuatu yang baru dalam saya, yang mungkin saya tidak perasan sebelum ini.
"Apa pun, saya tak nak terlalu gopoh untuk menerima tawaran lain sehinggalah mendapat maklum balas daripada penonton tentang lakonan saya dalam Julia Juli walaupun saya dah mula seronok untuk berlakon," katanya yang akan menemui penonton melalui drama tersebut setiap Isnin hingga Khamis, pukul 4.30 petang.
Bagaimanapun, kerjaya nyanyian masih lagi bergerak seperti biasa biarpun jadualnya kini semakin padat dengan membawa dua karier yang berbeza.
"Nyanyi, tetap nyanyi. Berlakon pula, saya masih baru belajar. Jika semua tawaran saya terima, memang susah saya nak fokus. Yang penting, saya seimbangkan dua kerjaya ini," akhir katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan