
Bagi penyanyi Misha Omar yang membawakan watak Ketua Buntal pula, dia menganggap Muzikal Gamat ini sebagai pemanas badan sebelum beraksi dalam teater Uda dan Dara yang akan dipentaskan di Istana Budaya pertengahan tahun ini.
Jelasnya sebelum ini dia sedikit kaget apabila menerima tawaran berlakon teater memandangkan cabaran yang bukan sedikit yang bakal dihadapinya nanti.
“Berlakon filem dan berlakon teater itu banyak bezanya. Kalau berlakon filem kita boleh ‘cut’ dan sambung balik. Tapi berlakon teater semuanya kena sempurna.
“Segala kesalahan dan cacat cela orang nampak. Saya masih belum bersedia sebelum ini. Tapi dengan adanya Muzikal Gamat ini saya mahu menjadikannya batu loncatan untuk saya lebih maju dalam bidang teater.
“Kalau nak dikira perasaan takut memang saya takut untuk berhadapan dengannya. Tapi sampai bila saya mahu bersikap begitu?
“Bila mula berlatih dengan semua pelakon, saya rasa diri saya sangat teruk. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari terutamanya aspek lakonan.
“Kadangkala rasa malu sendiri apabila kanak-kanak tersebut lebih pandai berlakon dari saya. Ini cabaran yang saya perlu hadapi. Saya juga tak mahu memperlihatkan kekurangan yang ada pada diri saya.
“Saya sangat berterima kasih kepada Zaifri Hussin selaku pengarah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada orang baru seperti saya. Dia sentiasa sabar melayan kerenah saya selama menjalani latihan,” katanya.
Peminat-peminat yang ingin menyaksikan Muzikal Gamat boleh datang ke Pusat Pelancongan Malaysia (Mtc), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Dapatkan tiket-tiket berharga RM50 dan RM22 dengan melayari www.muzikalgamat.blogspot.com atau hubungi 03-6186 6592 atau 012-297 7220 untuk maklumat lanjut.
*UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan