ATMOSFERA Misha Omar kini tentunya damai sejak kemunculan album terbarunya dengan judul Misha Omar mula menghiasi deretan kedai muzik seluruh tanah air dalam bentuk cakera padat (CD).
Walaupun ada yang menyifatkan albumnya itu bukan baru sepenuhnya, tapi inilah anugerah terhebat buat Misha yang selama empat tahun lalu bertemankan rindu tanpa karya bernama album.
Cintanya kepada nyanyian ibarat lantunan lagu Cinta Adam dan Hawa yang sedang beralun di mana-mana. Namun, untuk menjadi anak seni tidak bermakna hanya nyanyian yang menjadi jalan hidupnya.
Beritahu Misha, untuk menjadi anak seni yang versatil, dia harus berani mencuba, berani membuka diri untuk melangkah pengalaman baru dan berani mengambil risiko untuk dikritik ataupun dianalisis.
"Sebab itulah saya terima tawaran berlakon drama bersiri Julia Juli sebanyak 20 episod. Saya memang dah lama menunggu peluang berlakon drama TV cuma kali ini sahaja yang betul-betul datang pada masa yang sesuai," jelas Misha.
Menanyakan Misha, jika langkahnya terjun ke produksi drama TV diambil untuk melonjakkan graf populariti yang dikatakan dalam kedudukan mendatar, ini penjelasan matang dari hatinya yang tidak tewas menolak badai.
BENARKAH Misha berlakon drama TV untuk melonjakkan graf popularitinya yang kini mendatar?
Luah Misha, tubuh kecilnya tidak mampu untuk memuaskan pandangan semua pihak. Lebih penting, kata Misha, dia selalu berfikiran positif dan optimis dengan peralihan masa yang tidak pernah berhenti.
Justeru, kalau ada yang lupa, ini bukan lakonan Misha yang julung kali kerana penyanyi yang cukup popular dengan lagu Bunga-Bunga Cinta ini pernah muncul di sisi Adam AF menerusi filem Main-Main Cinta sekitar awal 2006 dan Gerak Khas The Movie (2005).
"Ketika ini memanglah suasana hiburan dan muzik tanah air semakin bervariasi dengan kehadiran ramai pendatang baru, setiap tahun ramai penyanyi baru muncul khususnya penyanyi-penyanyi kelahiran program realiti.
"Namun, saya masih di sini, masih mahu terus dalam industri dan masih dalam skala saya sendiri sebagai seorang anak seni. Saya akui, sebelum kemunculan album ini, diri ini jarang ke sesi fotografi, jarang juga menghiasi majalah-majalah dan surat khabar kerana saya fikir tidak banyak cerita yang hendak saya kongsikan," ujar Misha yang tidak terkilan dengan sepintas skeptikal terpercik ke mukanya.
Diajak bercerita tentang pengalaman turun ke lokasi penggambaran November lalu, paling berbunga di jiwa Misha adalah penerimaan mesra pelakon lain dan seluruh tenaga belakang tabir terhadap kelibatnya sepanjang tempoh di lokasi.
"Mula-mula mestilah kekok, bimbang juga ada yang mempunyai pandangan semacam terhadap saya, tapi dari mula sampai ke hari ini, saya seronok dan sangat selesa di lokasi penggambaran.
"Kalau ada rezeki, masa yang mengizinkan serta skrip yang sesuai untuk dicuba, saya tidak akan menolak untuk menerima tawaran lakonan yang lain," jelas Misha yang seronok mempelbagaikan aktiviti dan mengembangkan bakat seni miliknya.
Masih di lokasi Julia Juli sehingga hujung Januari ini, tumpuan Misha tentu tidak berganjak terhadap album dan permata hatinya, Muhammad Adam Emir yang semakin petah mengatur percakapan. Di situ, kematangan dan kewanitaan Misha sebagai ibu semakin menyerlah.
Terheret dengan topik anak yang laju terucap di bibirnya, tutur Misha merendah diri.
"Syukurlah rezeki saya tidak putus, cukuplah untuk beli susu anak."
Tidak menolak lelaki
Melimpahkan kasih terhadap anak angkatnya yang sedang membesar jauh sekali memberikan prediksi bahawa wanita ini sedang menolak kehadiran lelaki dan perkahwinan dalam hidupnya.
Sejak keintimannya dengan seorang pemuzik dulu tidak mampu bertahan dan terhenti separuh jalan, sehingga kini naluri kewanitaan Misha tidak pernah berkata 'tidak' untuk menemui seorang lagi lelaki yang sedia berkongsi kasih untuknya.
"Saya pun sama dengan wanita lain juga, siapa yang tidak mahu berkahwin dan siapa yang tidak mahu dikasihi oleh seorang lelaki.
"Yang saya harapkan ialah lelaki yang boleh menerima saya, bukan saya seorang tapi keluarga dan anak saya," kata ringkas tapi berisi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan