BIDANG lakonan bukanlah asing bagi penyanyi popular, Samihah @ Aisah (Misha) Omar, 26. Sebelum ini bakatnya itu pernah diuji membintangi dua filem, Gerak Khas 3 dan Main Main Cinta.
Asalnya hanya mencuba, namun ramai memberikan komen positif terhadap lakonannya itu. Bagaimanapun, kerana sibuk dengan kerjaya nyanyian, bidang lakonan terpaksa dilupakan Misha buat sementara.
Hampir empat tahun menyepi, tiba-tiba bintang yang mencipta nama menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta itu memberitahu dia baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Julia Juli Bintang Tiga.Selain Misha, Julia Juli Bintang Tiga arahan Adam Hamid, terbitan 10 View Production itu turut dibintangi Nik Saida, Danny, Dynaz, Abby Abadi, Rahim Jailani dan Zed Zaidi.
Ketika ditemui baru-baru ini Misha menjelaskan, sejak terbabit dalam dunia seni dia tidak pernah mengehadkan aktiviti seni, malah kalau boleh mahu melakukan semuanya termasuk bidang pengacaraan."Selain menyanyi, ramai tidak tahu, saya pernah menjadi pengacara mengendalikan rancangan Skrin Video yang diterbitkan 10 View Production. Rakamannya dilakukan tahun Mac lalu.
"Di situlah segalanya bermula apabila penerbit program itu bertanyakan adakah saya mahu berlakon drama ? Oleh kerana saya pernah berlakon filem, saya katakan kepadanya, mengapa tidak."Pada waktu sama keinginan hati begitu kuat mahu mencuba kembali bidang lakonan dan impian melakukannya sudah lama sangat disimpan. Persetujuan secara lisan dibuat waktu itu juga," katanya.
Kata penyanyi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini, dua filem pernah dibintangi sebelum ini kurang berjaya menonjolkan bakatnya."Hati saya kuat mahu melakukannya lagi di filem. Bagaimanapun, kalau dilihat dunia perfileman kita ada banyak pelakon pelapis. Bagaimanapun, pada saya bukan peluang berlakon filem yang dicari sebaliknya medium yang lebih sesuai untuk mengasah bakat.
"Pada saya, sudah tentulah berlakon drama jalan terbaik kerana ia membolehkan seorang pelakon bebas memilih watak dan bereksperimentasi. Lebih penting keseronokan sewaktu bekerja.
"Kualiti drama sekarang kian baik apatah lagi penulis skrip kini lebih kreatif mengetengahkan isu berbeza. Pada saya, Julia Juli Bintang Tiga ibarat pucuk dicita ulam mendatang," katanya.Bercerita pengalamannya, kata Misha, berlakon drama ternyata jauh berbeza dengan filem, namun apa yang lebih penting banyak perkara dapat dipelajari."Dengan berlakon filem, saya hanya perlu hadir pada babak membabitkan diri sendiri tetapi tidak drama kerana ia terikat dengan percaturan jadual. Dalam 20 episod itu 160 babak membabitkan watak saya.Ia menguji kesabaran kerana sewaktu menyanyi tidak banyak perkara perlu difikirkan. Selain menepati masa, saya datang mengadakan latihan dan beberapa jam kemudian tampil di pentas."Untuk drama bersiri pula saya perlu menunggu apabila produksi mahu membuat penggambaran untuk watak lain sebelum babak membabitkan saya dilakukan.
"Sepanjang membintangi Julia Juli Bintang Tiga saya tidak sangka sebenarnya saya mampu bersabar kerana hendak diikutkan saya ini cerewet dan mudah hilang tumpuan."Saya gembira bekerja dengan produksi drama ini kerana kerja mereka sangat teratur dan kami semua seronok sepanjang penggambaran. Saya sendiri tidak sedar yang masa begitu cepat berlalu," katanya.Misha turut meluahkan jika ada tawaran yang bagus dia tidak keberatan menerimanya.
"Begitupun saya tahu, pendakap gigi digunakan menjadi halangan dalam memilih karakter sesuai memandangkan apabila berlakon banyak babak membabitkan ekspresi wajah. Ia sudah tentunya tidak nampak molek apabila terpapar di televisyen.
"Saya ingin cuba lagi, cuma kalau boleh janganlah sampai kerjaya lakonan mengatasi karier nyanyian memandangkan ia masih menjadi keutamaan saya. Pada saya biarlah kedua-dua bidang ini bergerak seiring. Mungkin saya boleh berlakon dalam tiga projek untuk setahun," katanya.
Mungkinkah dengan pembabitannya dalam drama, Misha sudah bersedia untuk ke layar perak?"Saya tidak memikir sejauh itu tetapi jika ada rezeki, saya tidak menolak," katanya.Sebaliknya Misha menyimpan impian mahu bekerja dengan pengarah berkaliber seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba, Afdlin Shauki, Yasmin Ahmad dan Khabir Bhatia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan