Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Sabtu, 11 Julai 2009

'Saya belum mahu berkahwin...'

Sejauh mana kebenaran cerita ini? Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Adam & Hawa ini tidak terkejut apabila diminta menjelaskan kebenaran gosip yang diperkatakan itu.

Malah, Misha yang kini menjadi pengacara Sehati Sejiwa di RTM tidak menafikan ada membuat tinjauan dan bertanya kawan-kawan mengenai katering untuk majlis kahwin.

"Kebetulan ramai rakan saya sudah berkahwin tahun lepas termasuk teman rapat saya sendiri.

"Ada di kalangan mereka menasihatkan saya, kalau mahu kahwin lebih baik buat kajian dan merancang dari awal. Sebabnya majlis perkahwinan sekarang sudah jadi satu perniagaan dan kosnya mahal.

"Ditambah pula sekarang ini saya mengacarakan program Sehati Sejiwa dan ia membangkitkan rasa ingin tahu. Sebab itulah saya ada buat pertanyaan dengan beberapa pihak katering.

"Salah satunya Kuzi Catering, jurumekap dan pereka fesyen, tetapi semua itu hanya sekadar untuk pengetahuan saja.

"Langsung tiada kena-mengena dengan isu ingin mendirikan rumah tangga sebagaimana di uar-uarkan. Demi Allah, tiada majlis akan dilangsungkan pada Februari ini.

"Lagipun, tiada yang istimewa mengenai Februari yang boleh dikaitkan dengan saya. Kalau benar mahu berkahwin, tentu saja memilih tarikh yang bermakna dalam hidup saya. Misalnya Januari kerana bakal meraikan ulang tahun ke-28," katanya.

Apapun Misha tidak menafikan hatinya sudah dimiliki. Jejaka bertuah seusia dengannya itu adalah sahabat lama yang dikenali melalui teman-teman sekolahnya dulu.




Mereka berkongsi minat dan semangat yang sama dan inilah membuatkan perasaan cinta mudah terjalin.


Malah, teman lelaki Misha turut memahami dan menerima status penyanyi yang melonjak dengan lagu Bunga-Bunga Cinta ini sebagai ibu (angkat) kepada Muhammad Adam Emie, 3, yang dijaganya sejak kecil.

Mengenai panggilan istimewa Adam terhadap teman lelakinya itu, Misha enggan mendedahkannya.

Katanya, apa yang pasti Adam memanggil teman lelakinya itu dengan gelaran yang dihormati.

"Kalau boleh saya tidak mahu bercerita soal peribadi terlalu banyak kerana enggan membuatkan keluarga teman lelaki berasa tidak selesa.

"Maklumlah, teman lelaki saya yang baru menamatkan pengajiannya dan baru saja hendak memulakan karier.

"Jadi saya tidak mahu apabila perkara sebegini dibangkitkan, seolah-olah saya mendesaknya.

"Sebab itulah saya keberatan hendak bercerita mengenai 'survey' yang saya buat. Saya takut bila artikel ini disiarkan nanti, dikatakan cuba memberi tekanan walhal seperti sudah dimaklumkan, saya lakukan itu hanya sebagai pengetahuan," katanya.

Bersedia melangkah ke alam perkahwinan, namun Misha lebih senang sekiranya pihak lelaki yang memperkatakan hal ini.

Misha juga menafikan isu kononnya dia sebenarnya sudah pun mendirikan rumah tangga.

"Setiap perkahwinan perlu didaftarkan. Kalau saya sudah berkahwin, pasti ada bukti. Isu berkahwin ini, sebenarnya saya dah lali kerana sejak dulu lagi ia diperkatakan.

"Entahlah, mengapa orang selalu ingat saya sudah berkahwin. Malah, ada yang kata dulu saya menyepi kerana melahirkan Adam.

"Mungkin kerana saya nampak matang sehingga mereka membuat pelbagai spekulasi.

"Kalau benar saya kahwin pasti orang kampung dah bercakap. Mungkin emak ayah saya pun dah lama tinggalkan kampung kerana panas dengan cakap-cakap orang. Iyalah, orang tua mana tidak malu kalau anak berkahwin secara rahsia.

"Tapi tidak kisahlah apa orang hendak kata, yang pasti saya belum kahwin dan sebagai wanita normal, tentu saja ingin berkahwin dan mempunyai keluarga. Cuma jodohnya belum tahu bila," katanya.

Mengenai kerjaya seni, Misha yang menang Lagu Terbaik (Nafas Cahaya) ciptaan M Nasir dan Allahyarham Loloq pada Anugerah Industri Muzik ke-16 Mei lalu berkata, ketika ini dia sibuk mengendalikan program Sehati Sejiwa terbitan TV1.

"Seperti biasa, persembahan pentas masih diteruskan sebagaimana sebelumnya. Jika tidak, dunia saya adalah di rumah, bermain dengan anak dan saya menjalani kehidupan sama saja sebagaimana orang lain.

"Mengenai perancangan album, saya hanya menunggu kata putus dari syarikat rakaman," katanya.

Selain itu, dia yang tercalon sebagai finalis Artis Wanita Terbaik, Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 dijangka memeriahkan majlis itu di Jakarta, Indonesia pada 18 Julai ini.

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin