Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Khamis, 15 Julai 2010

Misha Omar Dah Kahwin, Isteri Ketiga?




Sejak awal tahun ini, GUA sering saja terdengar cakap-cakap nakal kononnya Misha Omar sudahpun menamatkan zaman bujangnya. Meskipun setiap kali pelantun lagu popular "Cinta Adam & Hawa" itu tampil menafikan khabar angin tersebut, selepas seketika, cerita itu timbul semula.

Seakan mengiyakan kebenaran berita tersebut, pernah seorang pembaca Pancaindera, akhbar sisipan Utusan Malaysia, meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila melihat akhbar itu sebagai sengaja tidak menyiarkan berita perkahwinan Misha. Padahal, menurut pembaca berkenaan, cerita perkahwinan Misha dengan seorang ahli perniagaan terkenal di Kota Bahru yang digelarnya sebagai Kiss, sudah rancak diperbualkan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Terbaru, cerita kahwin Misha mendapat satu 'twist' yang menarik. Kononnya, bukan saja Misha sudah sah berkahwin tetapi dia merupakan isteri ketiga kepada seorang jutawan.

Nampaknya, semakin menjadi-jadi kisah kahwin Misha ini. Tetapi sehingga cerita itu dikeluarkan dari mulut tuan punya badan, sukar untuk mempercayai semua khabar angin yang berterbangan ini. Kebetulan membuat liputan sidang media 'Muzikal Uda dan Dara' petang tadi, GUA beserta para media lain tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan komen daripada ibu angkat Muhammad Adam Emie, tiga tahun, ini.

"Terpulanglah. Kalau nak percaya cerita itu, percayalah. Tapi ia sama sekali tidak benar," katanya terus-terang. "Tapi saya pun pelik. Walau macam mana saya nafikan, cerita tu asyik diungkitkan. Saya pun tak reti nak jawab dah. Dari awal saya jadi penyanyi, saya dituduh kononnya janda.

"Sebagai seorang perempuan, saya tahu hak saya sebagai seorang isteri dan wanita. Jika ada yang masih tak percaya, pergi saja ke pejabat agama dan periksa sama ada betul ke tidak saya ni dah kahwin. Saya taklah bodoh untuk berkahwin dan sorokkan benda yang baik."

Jadi setakat ini, bagaimana perhubungan Misha dengan Uda pilihannya? Jika ada yang masih ingat, sebelum ini Misha pernah berkongsi perancangannya untuk mendirikan rumahtangga pada tahun ini. Tetapi hasratnya itu terpaksa ditundakan kerana kesibukan kerja.

Jawab pemilik nama penuh Samiha @ Aisah bt Omar itu, "Saya taknak cerita pasal ni (kisah peribadi). Azam baru saya sejak mula bergiat di dalam teater, sejak saya mula mengenali diri saya dengan lebih mendalam, lebih indah bila sesuatu berita itu disertakan dengan bukti dan cukup syarat. Sebenarnya, saya tak mahu bercakap banyak tentang perkara peribadi saya. Sebab bila tak jadi, siapa yang akan terasa nanti?"

Ingin jadi seorang seniman
Semua sedia maklum, Dato' Rahim Razali akan mementaskan semula karya terkenal Sasterawan Negara, Allahyarham Dato' (Dr) Usman Awang, 'Uda dan Dara'. Kali ini di Istana Budaya. Ramai juga mengetahui Misha serta Razali Hussain telah diberi mandat untuk menghidupkan dua watak utama karya ulung allahyarham ini.

Buat anak jati Kelantan yang berusia 28 tahun itu, penglibatannya di dalam 'Muzikal Uda dan Dara' - percubaan keduanya dalam pementasan teater selepas 'Gamat' - membuatkannya terjatuh cinta dengan dunia teater. Jelasnya, teater merupakan medan untuk seseorang itu mengenali dirinya serta dunia sebenar.

"Memang saya jatuh cinta (dengan teater). Di sini saya dapat meneroka dunia yang berbeza dan nyata. InsyaAllah, saya melihatnya sebagai satu medan yang baik untuk kita sedarkan diri kita.

"Sebelum ini sebagai seorang penyanyi, hidup saya mewah tetapi seperti yang kita dengar ketika sidang media tadi, sukar bagi produksi teater untuk mencari penaja. Di dalam teater juga, kita harus lepaskan ego kita, diri kita dan kesemuanya, dan tumpukan pada latihan."

Tambahnya, sepertimana penonton dipersembahkan kepada satu sisi Misha Omar yang tidak pernah mereka jangkakan di dalam 'Gamat', begitulah yang diharapkan Misha untuk wataknya sebagai Dara.

"Di dalam 'Muzikal Uda dan Dara', mereka tidak akan nampak 'brand' Misha Omar. Jika penonton setia teater boleh menerima Vanidah Imran, Umie Aida dan Maya Karin, saya ingin buktikan yang mereka juga boleh terima saya. Saya tidak hanya mempunyai satu sisi saja tetapi banyak cabang.

"Saya ingin menjadi seorang seniman. Baik buruk saya, saya tunjukkan. Dalam lapan tahun penglibatan saya di dalam bidang hiburan, saya tak pernah sembunyikan siapa diri saya yang sebenarnya," ujarnya.

*GUA.COM

Misha menggeletar apabila dipeluk, mata ditenung oleh Uda




KALI pertama berlatih bersama Razali Hussein untuk teater muzikal Uda dan Dara, Misha Omar yang memainkan watak Dara berkata, ada getar di pipinya. Dia kaku, seram dan takut melihat renungan nakal si Uda dan malu apabila tubuh kecilnya didakap penuh mesra.

Setiap kali Razali cuba mendakapnya, Misha mengelak. Apabila Razali merenung tajam ke matanya, Misha mengalih pandangan ke objek lain hingga mengundang teguran pengarah Datuk Rahim Razali. Puas Misha melawan rasa malu, namun gagal.

Dia hampir jadi ‘gila’ gara-gara Dara. Apa tidaknya, Dara yang digambarkan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr Usman Awang, sebagai seorang wanita yang lemah lembut, baik pada perlakuan mahupun tutur katanya.

“Sifat itu jauh beza dengan diri saya. Saya ni keras dan selamba saja orangnya,” kata Misha.

Tertekan kerana berasakan dia sudah mengecewakan orang lain, terdetik di hati kecilnya kekesalan menerima tawaran itu. Bagaimanapun, Misha tidak mahu cepat beralah. Kesungguhan Razali dijadikan motivasi kepada dirinya. Dua minggu menjalani latihan sebelum pementasan bermula pada 10 Julai depan, Misha berkata, roh Dara kini sudah pun meresap dalam dirinya.

“Air mata saya sudah pun tumpah kerana tertekan dengan Dara, hingga saya bertanya kepada diri sendiri adakah saya sudah tersilap tempat. Saya menerima tawaran menjadi Dara kerana minat mahu mencuba, tetapi tak pernah terlintas di fikiran yang ia akan sesukar begini. Saya fikirkan cabaran untuk muzikal ini tidaklah susah mana, sekadar lakonan biasa saja.
“Pada sesi latihan, barulah saya tahu betapa besarnya cabaran membawakan watak Dara. Lenggok percakapan perlu lembut, bukan macam gaya pertuturan kita sehari-hari. Selain kena belajar cara orang dulu-dulu bercakap, saya juga kena belajar lenggok tari dan menghafal lagu baru setiap hari.

“Selain itu, sikap dedikasi Razali juga membuatkan saya menggelabah. Pada minggu pertama latihan, dia bukan saja sudah menghafal ke skrip. Tapi Razali turut menghafal skrip saya. Kesungguhannya itu memberi motivasi kepada saya.

“Setiap kali bertemu, kami juga tak pernah bercakap seperti biasa, tetapi kami bercakap sebagai Uda dan Dara. Kami sengaja berbual begitu kerana kami mahu mendapatkan ‘feel’ watak yang kami bawakan,” katanya lagi.

Menjadi Dara juga menuntut komitmen yang lebih daripada Misha. Sejak sibuk dengan latihan, masa untuk anaknya Adam juga amat terbatas. Selalunya latihan akan berlarutan hingga ke pagi, setiap kali pulang ke rumah, anaknya Adam sudah tidur. Katanya, memang terdetik rasa simpati pada si kecil itu tetapi buat seketika, dia terpaksa berkorban demi muzikal Uda dan Dara.

Katanya lagi, buat seketika dia tidak boleh terlalu memikirkan mengenai Adam, bimbang ‘roh’ Dara dalam dirinya boleh pudar. Malah, dia juga terpaksa memandu sendirian ke sesi latihan tanpa ditemani kakaknya, Mimi kerana tidak mahu tumpuannya terganggu.

Bagi Razali Hussein yang mendapat kepercayaan Datuk Rahim untuk membawakan watak Uda, mengakui bertuah diberi peluang membintangi teater muzikal yang menjadi sebutan ramai. Tidak berharap Uda akan melonjakkan popularitinya kerana apa yang diharapkan anak muda ini hanyalah kerana keinginan untuk mencuba.

Katanya, dia tidak berasa gementar seperti Misha dan memahami wanita itu mempunyai banyak komitmen. Sementara fokusnya pula hanya tertumpu kepada muzikal Uda dan Dara saja. Justeru, dia mempunyai lebih banyak masa jika dibandingkan dengan Misha.

Razali berkata, dia akan sentiasa melunaskan semua tanggungjawab diberikan dengan cepat kerana tidak gemar melengah-lengahkan kerja. Sebaik saja menerima skrip, dia terus saja mentelaah.

“Saya lihat tindakan ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada Misha. Dia juga lebih gigih berusaha selepas berlatih bersama-sama,” kata Razali yang mengalami kecederaan pada kaki dan tangan akibat perlu mempelajari ilmu persilatan.

Jelas Razali, mungkin ada yang berpendapat betapa bangganya dia kerana diberi peluang memainkan peranan yang bakal menjadi tumpuan. Tetapi bagi jejaka yang dilahirkan daripada program Audition ini, perasaan yang dirasakan lebih kepada rasa tanggungjawab.

“Harapan orang tinggi, jadi saya perlu memberikan sebuah persembahan yang terbaik. Perasaan bimbang saya sebenarnya lebih mengatasi perasaan seronok di pilih sebagai Uda,” katanya yang bakal mendendangkan tiga lagu secara duet bersama Misha dan sebuah lagu solo.

*BERITA HARIAN

Rabu, 7 Julai 2010

Misha temui cinta si Uda


LENGGOK bahasa tubuh diatur sopan, butir bicaranya juga penuh kelembutan. Itu sudah jelas memaparkan ciri-ciri ketimuran seorang gadis Melayu yang ada pada Dara hingga mampu meruntun hati mana-mana jejaka.

Sungguhpun begitu, hati si Dara bukanlah mudah dirampas sebarangan lelaki kerana kasih dan cintanya hanya pada sang kekasih, si tampan bergelar Uda.

Menyelami peranan sebagai Dara rupanya sukar ditelan oleh pemilik nama Misha Omar yang terpilih membawakan watak dambaan ramai pelakon teater itu.

Masakan tidak, membawakan watak yang lahirnya dari sebuah naskah agung karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang pastinya mencetuskan emosi gementar bukan sahaja terhadap dirinya tetapi semua tenaga produksi yang terlibat.

Setelah penat berteka-teki mengenai watak Uda, Misha kini boleh menarik nafas lega apabila teruna yang bakal ditemukan menjadi kekasih hatinya menerusi pementasan teater muzikal itu adalah Razali Hussain, 34.

Bercerita mengenai penantian Dara sebelum ditemukan dengan ‘Udanya’, Misha mengakui dia mengalami kesukaran dari aspek latihan.

Ini kerana, untuk mendapatkan momentum yang baik dalam menjiwai dan menghidupkan suasana romantis, dia dan ‘kekasihnya’ itu perlu disatukan.

“Tuntutan watak ini bagi saya amat berat lebih-lebih lagi apabila produksi masih belum menemui calon tepat untuk watak Uda. Misha terpaksa berlatih sendiri selain dibantu tenaga produksi yang lain.

“Namun selepas pengarah teater, Datuk Rahim Razali mengumumkan pemilihan Razali sebagai Uda, saya terima dengan hati yang terbuka.

“Pun begitu, saya terpaksa mengaku, untuk minggu pertama penglibatan Razali semasa sesi latihan, saya banyak menyusahkan dia terutama saat latihan menyulam rasa cinta antara Uda dan Dara itu sendiri,” katanya.

Sambil menyifatkan dirinya masih baru dalam dunia pementasan teater, Misha yang tidak lokek dengan senyuman turut berkongsi ‘penderitaannya’ ketika menggalas tanggungjawab menjadi Dara mengikut perspektif Rahim Razali.

Kata wanita berasal dari negeri Che Siti Wan Kembang ini, selain bertungkus-lumus menghafal dialog, menyanyi dan menari, aspek penghayatan merupakan bahagian yang paling sukar dilakukan.

“Sesuatu yang aneh apabila kita terpaksa menjadi orang lain meskipun seketika. Seolah-olah saya meminjamkan jasad ini untuk Dara. Saya harus pastikan cara berjalan, bercakap, berlari, lenggok tubuh pendek kata semuanya perlu menepati ciri-ciri kelembutan seorang wanita.

“Semua ini bertentangan dengan sifat sebenar saya yang agak kasar. Sehinggakan Jatuh cinta? Ya.. Saya memang harus jatuh cinta dengannya dan getarnya juga dapat dirasakan. Tetapi sebagai Dara bukannya sebagai Misha Omar. pernah satu ketika saya hampir putus asa dan berkata ‘Aku tidak patut berada di sini’. Menangis? Ya.. pernah juga tertumpah air mata ini demi Dara.

“Tetapi, semua itu saya terima sebagai satu cabaran kerana saya yang memilih tugas ini. Jadi saya perlu teruskan sehingga ke akhirnya,” katanya komited.

Pernah menjayakan watak ketua ikan buntal dalam pementasan teater Muzikal Gamat bersama Amy Mastura pada Mac lalu, Misha ternyata semakin bijak membiasakan diri dengan dunia teater meskipun sedar masih banyak yang harus diterokainya.

Getar cinta Razali

Berbicara mengenai Razali, pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta ini sempat tersipu malu tatkala diasak pertanyaan jika dia dan Razali ditakdirkan bercinta sementelah sentiasa ‘berkepit’ demi menjayakan teater ini.

Ketampanan yang dimiliki oleh pemuda kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu memang diperakui oleh Misha. Bahkan tanpa segan silu, dia turut mengaku dapat merasai getaran ‘cinta’ saat menatap wajah Razali.

“Jatuh cinta? Ya..Saya memang harus jatuh cinta dengannya dan getarnya juga dapat dirasakan. Tetapi sebagai Dara bukannya sebagai Misha Omar.

“Pun begitu, timbul juga kerisauan di hati jika ia benar-benar terjadi. Tetapi rasanya emosi masih lagi dalam keadaan terkawal dan minda saya hanya difokuskan untuk watak ini, ”katanya.

Jelas ibu angkat kepada Muhammad Adam Emie, 4, ini lagi, dalam soal kerja, Razali dinilai sebagai seorang yang sangat berdedikasi. Malah, pemuda itu juga banyak membantunya dari segi mutu lakonan.

Uda & Dara naskah indah

Tegas menolak andaian kolot sesetengah pihak yang mendakwa karya Usman Awang ini sebagai sesuatu yang membosankan, Misha menyimpulkan Uda & Dara sebagai sebuah naskah yang indah untuk ditonton.

Katanya, walaupun sudah dipentaskan sejak 38 tahun lalu, naskah ini masih berbalut segar dengan keindahan secara holistik.

“Siapa pun tidak dapat menyangkal bahawa naskah ini sarat dengan jati diri Melayu yang sangat tebal. Pada Misha, baik dari segi gambaran fantasi, bahasa, budaya, semua mengandungi keindahannya yang tersendiri,” jelasnya.

Muzikal Uda & Dara akan dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 Julai ini dengan dibarisi bintang-bintang ternama seperti Umi Kalsom (ibu Uda), Rosdeen Suboh (Uteh), Radhi Khalid (Pak Long) dan Mazlan Tahir (Alang Bakhil).

Orang ramai yang berminat untuk menonton dan membuat tempahan tiket boleh berbuat demikian dengan melayari laman web www.tiket2u.biz atau 03-41498600.

Tiket dijual pada harga RM35, RM70, RM105, RM140, RM170 dan RM190.

Zally cinta Dara

NAMA Razali Hussein (Zally) belum sebesar mana walaupun sering tampil dengan watak yang hidup, baik untuk drama televisyen mahupun layar perak.

Malah karier nyanyiannya pun belum boleh diangkat gagah untuk diletakkan sebaris mereka yang popular atau punya tumpuan publisiti. Sebaliknya lelaki ini mencatur perjalanan kerjayanya dengan cara tersendiri.


Pun begitu, serpihan kontroversi pernah dilaluinya tetapi Zally tahu menanganinya supaya tidak berpanjangan.


Enggan mengulas lanjut perihal kontroversi, Zally lebih selesa bercerita mengenai peranannya sebagai Uda dalam teater pertama yang menampilkan dirinya sebagai watak utama.


Malah penampilannya di pentas Istana Budaya bukan kali pertama berikutan pernah beraksi dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang edisi pertama sebelum ini dengan membawa watak utusan Majapahit.


Lebih menarik, Zally bukan saja bercinta dengan ‘Dara’ di dalam pementasan itu, malah ada desas-desus mengatakan cinta ‘Uda’ juga berputik hingga keintimannya dengan Misha Omar sebagai pelaku Dara juga dilihat hingga ke luar lokasi.


“Sebagai Uda, saya perlu bercinta dengan Dara, itu saja. Bertanya khabar selepas latihan dan lepak minum bersama adalah perkara biasa kerana masing-masing perlu mengenali hati budi pasangan mereka,” katanya sambil ketawa.


Zally mengakui sifatnya yang suka mengambil berat dan rasa tanggungjawab terhadap rakan pelakon mungkin disalah anggap seolah-olah mereka dilihat benar-benar bercinta.


Katanya, jika latihan teater habis lewat, dia memastikan ‘Dara’ selamat tiba di rumah dengan menghubungi Misha melalui pesanan SMS atau telefon.


Dengan tarikh pementasan yang semakin hampir, Zally dan Misha kini semakin sibuk ‘bersama’ untuk memastikan hubungan antara Uda dan Dara terjalin lebih selesa.


Teruja dengan peluang diberi, juara program realiti Audition musim kedua ini berjanji akan memberi persembahan terbaik dengan sokongan rakan produksi lain walaupun sedar dengan masalah penerbit untuk mendapatkan tajaan membiayai pementasan bernilai RM1.5 juta itu.

Pementasan teater yang diarahkan pengarah prolifik yang juga mantan pelakon asal Teater Uda dan Dara, Datuk Rahim Razali ini akan menemui peminat teater tempatan bermula 10 hingga 20 Julai depan.


Selepas kali pertama dipentaskan pada 1972, Zally akui ia tanggungjawab berat yang perlu dipikul demi memastikan teater ini mampu melakar sejarah baru dalam mementaskan naskhah ulung Sasterawan Negara itu.


Selain Zally dan Misha, teater ini menampilkan Radhi Khalid, Betty Benafe, Umi Kalsom, Mazlan Tahir dan Aris Kadir.


Tiket RM35 hingga RM190 kini boleh didapati di kaunter jualan tiket2u atau layari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi terus talian hotline 03-4149 8600.


*Harian Metro

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin