Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Jumaat, 18 Jun 2010

Dengarnya: Sehati Sejiwa semakin hambar

BARU-baru ini Cik Normah menonton program Sehati Sejiwa di TV1 yang menampilkan pasangan Sasha Saidin dan suami Salyo Priyanto Notosoemarsono. Program itu dibuat untuk berkongsi cerita bagaimana setiap pasangan itu boleh sealiran dan bersefahaman dalam kebanyakan perkara demi kebahagiaan bersama. Cik Normah sebenarnya menonton program ini secara kebetulan saja. Sebelum ini, adalah sekali dua tengok rancangan Sehati Sejiwa ini. Maklumlah kebanyakan program RTM ini selalu saja berubah-ubah dengan sesuka hati dan sekelip mata. Itu sebab penonton pun cepat keliru dan bingung kerana tarikh dan waktu program yang cepat sangat ditukar oleh RTM.

Ada program yang sudah elok dan penonton sudah selesa pada tarikh dan waktu siarannya, ada saja pegawai RTM yang mula terfikir untuk ditukar pada waktu lain pula. Maka program itu pun dilupakan penonton.

Dalam program Sehati Sejiwa ini yang dikendalikan oleh Misha Omar sebagai pengacara, Cik Normah rasa macam hambar saja. Ada kawan Cik Normah yang kebetulan menonton program ini secara tak sengaja, pernah bertanya kenapa tetamu yang diundang adalah dari kalangan artis saja? Program Sehati Sejiwa ini sebenarnya bercorak hiburan atau kekeluargaan? Entahlah. Cik Normah memang tak ambil peduli pun dengan program ini. Tapi betul juga pandangan kawan Cik Normah itu. Bukan sahaja artis yang boleh hidup sehati sejiwa, tetapi dikalangan orang biasa macam ahli sukan, personaliti TV dan mungkin juga beberapa orang selebriti popular tetapi bukan dari kalangan artis, rasanya boleh diundang untuk menjadi tetamu program ini. Dan, bagi Cik Normah, program Sehati Sejiwa ini sepatutnya mengundang mereka yang sudah lama hidup bersama, sekurang-kurangnya 10 atau 15 tahun. Baru menarik ceritanya. Barulah orang hendak tahu rahsia dan petua mereka mengekalkan kebahagiaan hidup bersama selama lebih satu dekad. Kalau setakat baru dua tiga tahun mendirikan rumah tangga, bagi Cik Normah tiada apa yang menarik sangat pun. Orang kata cabarannya belum kuat berbanding mereka yang sudah berkahwin lebih 10 tahun.

*BERITA HARIAN

Uda dan Dara

APABILA bercakap mengenai kisah percintaan yang asyik mahsyuk sehingga sanggup berkorban nyawa pasti kita akan teringatkan cerita Laila dengan Majnunnya, Shah Jahan dengan Mumtaz Mahal, Romeo dan Juliet serta Uda dan Dara. Sang kekasih sanggup berganti nyawa asalkan si buah hati selamat dan bahagia. Oleh kerana cinta yang terus membara walaupun selepas Mumtaz meninggal dunia, Shah Jahan sanggup membina makam yang begitu indah dinamakan Taj Mahal. Disebabkan cinta yang terlalu mendalam, Romeo dan Juliet sanggup minum racun asalkan dapat mati bersama. Uda dan dara pula mengisahkan seorang anak petani iaitu Uda yang dilamun cinta dengan gadis berada bernama Dara. Namun, cinta mereka terhalang kerana masalah dua darjat. Untuk menghayati semula kisah dua jiwa yang sengsara itu, naskhah itu akan dipentaskan semula di Panggung Sari, Istana Budaya, mulai 10 hingga 20 Julai ini.

Naskhah teater muzikal itu karya ulung yang dihasilkan Sasterawan Negara, Datuk Dr Usman Awang pada 1972. Ia juga adalah karya muzikal pertama dipentaskan di negara ini pada waktu itu. Kini, selepas 38 tahun teater itu dipentaskan, sekali lagi Uda dan Dara akan berkongsi suka duka mereka dengan penonton apabila ia dipersembahkan semula di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), mulai 10 hingga 20 Julai ini.

Pementasan kali ini akan ditangani pengarah prolifik dan berpengalaman, Datuk Rahim Razali. Watak Uda akan dibawakan Razali Hussain dan Dara pula dipegang Misha Omar.
Razali yang datang ke Balai Berita, kelmarin, menyuarakan perasaannya yang gembira dan terharu kerana diberi tanggungjawab besar itu. Dapat pula berlakon dengan Misha, diibaratkannya seperti bulan jatuh ke riba.

“Bulan lalu baru saja berlakon dalam pementasan Teater Muzikal Teratak Minang, namun ia bukanlah watak utama. Namun begitu, ia satu pengalaman yang amat menarik kerana ia dipentaskan di IB. Bagaimanapun, peluang melakonkan Uda membuatkan saya lebih teruja kerana ia adalah teraju utama. “Pembabitan saya dalam teater ini bermula apabila Datuk Rahim menyebut nama saya kepada produser pementasan ini. Alhamdulillah, cadangan Datuk Rahim untuk mengambil saya pegang watak Uda diterima. Bagaimanapun, saya tetap perlu menjalani uji bakat untuk memuaskan hati semua pihak.

“Watak Uda menjadi idaman ramai pelakon dan tentu sekali saya gembira menggalas tanggungjawab ini. Watak itu sangat menguji kemampuan saya kerana sebagai Uda, saya perlu berlakon, menari, menyanyi dan bersilat. “Dalam kisah Uda dan Dara, Uda berusia 21 tahun manakala Dara pula 17 tahun. Jadi terpaksalah saya dan Misha sesuaikan diri untuk menjadi remaja yang baru mengenal erti cinta. Kini, semua pelakon yang terbabit dalam pementasan ini sedang menjalani latihan dan nampaknya untuk mewujudian keserasian saya dengan Misha, saya sedang belajar untuk mencintainya,” katanya.

Jelas Razali, tiada masalah baginya berlakon dengan Misha yang lebih senior dan popular berbanding dirinya kerana Misha senang diajak berbincang.
“Kami bekerja secara profesional. Jadi jika sifat itu dalam diri kita, tiada masalah untuk bekerja dengan siapa pun. Memanglah kedudukan Misha dalam persada seni tanah air sudah setaraf diva namun dia mudah memberikan kerjasama. “Apa yang penting, kami berdua akan menghidupkan watak itu dengan sebaik mungkin kerana ia bukan calang-calang naskhah. Ia karya Datuk Usman yang sangat kita hormati ketokohannya dalam bidang penulisan.
“Pementasan ini juga dibawakan syarikat diasaskan beliau sendiri ( (UA Enterprises Sdn Bhd) yang kini diteruskan perjuangannya oleh anaknya, Haslina, selepas beliau kembali ke rahmatullah pada November, 2001. Waktu hayatnya masih ada, Datuk Usman juga dikenali dengan nama penanya Tongkat Warrant,” katanya.

Muzikal terulung ini turut dilakonkan Betty Banafe (Ibu Dara), Mazlan Tahir (Alang Bakhil) dan Radhi Khalid (Pak Long). Untuk tempahan tiket, layari laman web, www.ticket2u.biz.

*HARIAN METRO

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin