Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Ahad, 2 Ogos 2009

Perkahwinan satu kemerdekaan




MISHA OMAR ketawa panjang bila bercakap tentang 'angin lintang' dia akan segera berumah tangga. Katanya, sejak usia melewati 25 tahun, sudah beberapa virus gosip bertebaran. Tetapi tidak satu pun mampu menjangkitinya.

Namun saya kata, kali ini virus tersebut bukan lagi virus yang biasa. Kalau sudah sampai pergi mencari dewan, melihat pakej perkahwinan dan meninjau menu makanan, usaha ke arah alam perkahwinan sudah mencapai fasa tertinggi.

Individu yang memang dalam proses menuju kemuncak itu sahaja yang akan berbuat demikian. Maka jangan mahu menafikan lagi virus yang bertebaran itu.

Gadis Kelantan berusia 27 tahun ini hanya ketawa mengekeh-ngekeh menampakkan barisan gigi yang masih rapi dipeluk pendakap gigi. Dia kemudian mula melontarkan hujah-hujahnya - seperti selalu, bernas dan realistik.

Dia tidak menafikan telah membuat persediaan tersebut. Sebagai seorang dara yang hatinya sudah diikat dengan cinta seorang teruna, apatah lagi memang sudah bercadang untuk menikahi lelaki tersebut, membuat persediaan perkahwinan pasti diutamakannya.

Sementelah majlis perkahwinan memerlukan kos yang tinggi dan melibatkan banyak pihak. Misha pula tidak suka membuat kerja pada saat akhir.

"Saya tak nafikan saya membuat tinjauan tentang majlis perkahwinan. Memang saya nak kahwin, tapi bukan pada tarikh atau bulan Februari seperti yang digembar-gemburkan," katanya serius.


SEORANG yang teratur, justeru Misha membuat persiapan awal untuk majlis perkahwinannya.


Diasak persoalan perkahwinan tersebut akan diadakan pada tahun hadapan, Misha perlahan memberitahu: "Kalau diizinkan Tuhan, memang kami mahu bernikah pada tahun hadapan.

"Sebab itu saya sudah bersedia meninjau semua keperluan agar berada dalam bajet yang betul. Tapi saya tak mahu bercakap lebih itu kerana lambat lagi untuk sampai ke tahun depan. Macam-macam boleh terjadi."

Mengimpikan sebuah majlis sederhana disulam aroma tradisional dan sedikit taman, Misha kala ditanya siapa sebenarnya gerangan arjuna yang berjaya mencuri hatinya, pantas memberitahu dia bukan daripada kalangan teman satu industri.

Katanya, tidak mahu pening kepala kelak berkahwin dengan teman seperjuangan. Kerdipan glamor dan tohmahan yang lebih hebat apabila berkahwin sesama artis selalu membuat Misha berfikir dua kali untuk jatuh cinta dengan lelaki sebegitu.

Cukuplah dia menjalin cinta dengan orang biasa. "Lebih menarik sebab saya dapat mengenal dunia lain daripada industri seni. Jadi boleh berkongsi pengalaman yang berbeza," katanya lagi.

Misha lantas memberi gambaran tipis tentang pemujanya yang telah menjadi pendampingnya sejak beberapa tahun lalu. Dia seusia Misha yang kerjayanya memerlukan dia selalu berada di awan biru. Tetapi di mata gadis ini, dia cukup luar biasa.

Kasih sayang, sifat memahami, toleransi dan menerima dirinya di luar kulit glamor serta paling penting, banyak melengkapkan kekurangan dirinya telah mengunci hatinya untuk cuba bermain cinta dengan lelaki lain.

Stigma hitam anak seni

Tetapi bila saya usik bahawa kebarangkalian dia harus berhadapan dengan stigma keluarga bakal pasangan hidupnya tentang dunia anak seni yang selalunya dianggap penuh sisi hitam, Misha memberi jawapan yang positif.


MISHA jarang mempunyai waktu senggang. Sesekali keluar kota, Misha tidak melepaskan peluang melawat Jonker Walk, Melaka.


Dia optimis mengatakan bahawa stigma itu wujud. "Tapi biasanya persepsi itu datang pada perkenalan pertama. Kita pun tak boleh nak salahkan mereka kerana banyak cerita negatif yang menjadi bahan tatapan.

"Namun, dalam masa yang sama, saya menolak kalau ada yang beranggapan bahawa anak seni ini rosak semuanya atau tidak bijak.

"Setiap manusia, dalam apa juga lapangan kerjaya mereka ada pancaroba dan tidak ada manusia yang sempurna," jawab Misha berhati-hati.

Terlanjur berbicara tentang perkahwinan dan Misha menjadi cover story Sensasi Bintang yang pertama pada bulan Ogos ini, bulan kemerdekaan atau kebebasan, sengaja juga saya 'racun' bahawa ikatan perkahwinan membuat seseorang itu tidak bebas. Terikat dan harus komited.

Tetapi pantas dijawab pemilik suara lunak yang terkenal dengan untaian lagu cinta seperti Cinta Adam Dan Hawa dan Bunga-Bunga Cinta ini dengan jawapan yang kontra tetapi yakin.

Jawab Misha, perkahwinan bukan satu kekangan. Sebaliknya perkahwinan adalah lambang kebebasan. Pada persepsi Misha: "Inilah fasa kita bebas daripada keluarga dan hidup berdikari dengan membina sebuah keluarga sendiri.

"Adakah kita mampu menyelusuri kehidupan berumah tangga atau sebaliknya, itu tanggungjawab kita."

Sehingga mahu menghabiskan temu bual ini, saya amati, bicara Misha kali ini begitu penuh dengan perasaan cinta. Bagai melimpah ruah. Dia angguk yakin bila disoal berkali-kali tentang keputusannya mahu berkahwin tahun hadapan.

Saya bayangkan jika impian berkahwin tahun depan gagal, bagaimana Misha?

Atau tidak terlalu awalkah untuk bercakap tentang isu ini pada saat namanya harum dalam industri selepas dijulang dalam Anugerah Industri Muzik (AIM), tawaran berlakon yang mencurah selain makin serasi sebagai hos Sehati Sejiwa di RTM1?

Tak akan cuci tangan

Tapi Misha tetap penuh dengan jawapan. Dia jawab, pada usia 27 tahun, perkahwinan itu hampir dekat kepadanya. Itu usia yang boleh dikira matang untuk berkahwin, katanya lagi.




Sementara pada isu impian perkahwinan yang gagal, gadis ini menyimpulkan, setiap manusia harus ada mimpi kerana melalui mimpi ia membakar semangat untuk menjadikannya realiti. Jadi doakan sahaja yang terbaik buat dia menggapai impian tersebut.

Balasnya tentang impian yang barangkali akan membuat kerjayanya tercicir: "Saya kira semua orang mempunyai komitmen untuk hal peribadi. Begitu juga saya. Saya tidak akan cuci tangan hanya kerana mengikat diri dengan komitmen lain. Ini darah daging saya.

"Paling penting, saya tahu, lelaki pilihan saya memahami saya. Dia cinta mati saya." Bicara kami tamat.

Tiada ulasan:

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin