Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Selasa, 5 Oktober 2010

Misha gian lakon teater

SEKALIPUN kisah percintaannya jarang diperkatakan, siapa sangka penyanyi Misha Omar atau nama sebenarnya Samiha @ Aisah Omar sudah dua kali putus cinta. Pun begitu, penyanyi lagu Cinta Adam Dan Hawa ini turut dikait­kan sudah mendirikan rumah tangga dengan kekasih hatinya secara senyap dan tertutup.

CANTIK...keayuan wajah Misha semakin terserlah kini.
CANTIK...keayuan wajah Misha semakin terserlah kini.
MISHA...janji undang media jika berkahwin.
MISHA...janji undang media jika berkahwin.

Misha yang tidak terkejut apabila media bertanyakan perihal perkahwinannya itu menjelaskan dia masih berstatus bujang. Katanya, berita yang tersebar gosip semata-mata. Hingga kini, Misha belum menerima sebarang lamaran.

“Saya tidak tahu macam mana berita mengenai perkahwinan ini boleh timbul. Ini kerana saya sendiri tidak pernah me­ngeluarkan sebarang kenyataan atau pengumuman mengenai­nya. Saya tidak menafikan ada mengenali seseorang, tetapi sejauh mana perkembangan hubungan kami biarlah menjadi rahsia.

“Ini kerana, saya tidak mahu lagi bersikap terlalu terbuka membicarakan soal cinta dan peribadi kepada media. Dalam soal ini, saya perlu mengambil kira hati banyak pihak terutama keluarga. Apa yang pasti, pada usia 28 tahun sekarang perancangan untuk berkahwin memang ada, tetapi bukan sekarang.

“Sebagai seorang wanita normal, pada peringkat usia sekarang siapa yang tidak me­nyimpan impian untuk mendirikan rumah tangga? Begitu juga dengan saya, namun bilakah tarikh bersejarah itu, biarlah Tuhan menentukannya. Apabila sampai masa ditetapkan, saya takkan sesekali menyembunyikannya.

“Saya berjanji akan berkongsi detik bahagia ini dengan media yang banyak membantu perjalanan karier selama ini. Cuma, mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, saya fikir lebih baik tidak membuka cerita mengenai percintaan. Bagi saya, berkongsi kisah karier paling bagus berbanding soal peribadi,” katanya.

Ditanya bagaimana pandangan keluarga terhadap dirinya yang masih solo, Misha berkata, jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Yang Maha Esa. Oleh itu, dia bersyukur kerana dianugerahkan ibu bapanya yang sangat memahami dan sedikit pun tidak memberi tekanan.

Kata Misha, orang tuanya tak pernah mendesak dia berkahwin.

Bertemu Misha di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Astro di Pusat Persida­ngan Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, gadis ini sedikit pun tidak melatah dengan khabar angin itu, apatah lagi mengelak untuk menjawab pertanyaan media. Namun, Misha mengharapkan pendiriannya tidak bercerita mengenai kisah cinta dihormati.

Menyentuh per­kembangan k­ariernya, Misha kini semakin aktif berlakon teater muzikal. Selepas terbabit dengan pementasan teater muzikal Gamat di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) tahun lalu, Misha dilamar pula menjadi teraju utama teater muzikal Uda & Dara yang diarahkan seniman tersohor, Datuk Rahim Razali.

Kini bermula 24 September lalu hingga 9 Oktober ini, Misha sibuk menjayakan pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir di IB dengan watak Datuk Rosnah Majid yang pernah mewawancara bekas pemimpin unggul negara itu selepas 100 hari pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat.

Diterbitkan produksi teater, CRTA Production Sdn Bhd milik penggiat teater prolifik, Siti Rohayah Attan atau Roy, penyanyi, pelakon dan pengacara kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu berkata, sekarang dia mempunyai minat mendalam terhadap pementasan teater. Justeru, bakat seninya sudah diperkembangkan.

“Selain menyanyi dan pernah menjadi pengacara, saya sangat teruja berlakon teater. Tiada lagi perasaan gementar beraksi di pentas teater, sebaliknya saya semakin bersedia. Pengalaman berlakon teater sangat menyeronokkan saya dan ia juga membantu memantapkan lagi bakat lakonan seseorang pelakon.

“Saya akui, mula-mula berteater dulu memang dihambat perasaan takut, gementar dan bimbang jika lakonan kaku. Tetapi, selepas terbabit dalam beberapa pementasan, saya dapati perasaan gementar semakin hilang, malah saya kini sangat seronok dan tak sabar untuk beraksi dalam teater muzikal lagi.

“Jujurnya, saya mengaku gian berlakon teater dan berharap pementasan Tun Mahathitr bukan yang terakhir. Demi kecintaan mendalam terhadap bidang teater tanah air, selepas ini mungkin saya akan cuba menghadiri sebarang uji bakat berkaitan teater. Ia sekadar mencari peluang dan dapat atau tidak, itu rezeki.

“Apapun, hati saya terpaut pada teater selepas melihat sikap semua penggiat teater tanah air yang boleh dikatakan sangat jujur dalam karya mereka.
“Ini kerana saya mendapati kebanyakan mereka melakukannya dengan ikhlas walaupun tidak meraih sebarang publisiti seperti pelakon filem dan drama,” katanya.

Jelas Misha lagi, biarpun hanya menjayakan satu babak saja dalam pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir, dia cukup berbang­ga. Katanya, peluang diraih itu sudah dianggap penghargaan yang besar baginya asalkan dapat bersama menjayakannya. Ini ­adalah penghormatan peribadi buat mengenang jasa Tun Dr Mahathir.

“Berlakon watak pembantu tidak menjadi masalah bagi saya kerana rasa kecintaan yang sangat mendalam terhadap tokoh negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamed. Ini satu sumbangan bermakna daripada saya untuk beliau yang selama ini banyak menabur bakti dan keringat pada pembangunan negara,” katanya.

Teater muzikal yang mengisahkan kehidupan Tun Dr Mahathir dari kecil, remaja, memegang jawatan Perdana Menteri hinggalah kepada kehidupan sekarang turut membariskan pelakon lain seperti Esma Daniel yang memegang watak Dr Mahathir (dewasa), Erra Fazira (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), Zizan Nin (Dr Mahathir semasa remaja) dan finalis Idola Kecil 2008 Mohd Shafeiq Shazwan (Dr Mahathir semasa kanak-kanak).

Mengenai karier utamanya iaitu nyanyian pula, Misha berkata, dia baru selesai merakamkan tiga single yang baru untuk dimuatkan dalam album kom­pilasi terkininya.

Ujarnya, kesibukan berteater menyebabkan dia belum dapat memastikan lagi bilakah tarikh sesuai untuk pelancaran album berkenaan diadakan.


*HARIAN METRO

Tiada ulasan:

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin