Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Khamis, 13 Januari 2011

TELAN KRITIKAN

RITMA 2011 cukup indah buat Misha Omar apabila terpilih menzahirkan watak mantan wanita pertama negara, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ketika muda dalam pementasan Muzikal Tun Mahathir (MTM) II yang bakal dipersembahkan di Panggung Sari, Istana Budaya tanggal 21 hingga 30 Januari ini.

Menggantikan Erra Fazira, tugasan ini cukup mencabar apabila dia cuma berpeluang mengikuti bengkel latihan selama 16 hari. Jika dihitung ia satu durasi yang cukup pendek bagi persembahan berprofil tinggi sekali gus menimbulkan rasa sangsi banyak pihak. Biarpun ada suara sumbang mempertikaikan kemampuan anak jati Kota Bharu ini, Misha optimis dia pasti melunaskan tanggungjawab berkenaan sebaik mungkin bahkan tertanam teguh di hatinya tidak mahu mengecewakan produksi yang menaruh kepercayaan terhadapnya.

“Tidak dinafikan 16 hari satu durasi yang sangat pendek bagi persembahan berprofil tinggi seperti ini. Kalau ikutkan memang tak cukup kerana untuk teater Uda dan Dara dulupun latihan mengambil masa sebulan. “Bagaimanapun pengalaman bekerja di bawah tekanan ketika Uda dan Dara banyak membantu selain pembabitan dalam MTM musim pertama. Meskipun watak Rosnah Majid kecil, saya pernah menjalani latihan bersama Erra dan ia secara tidak langsung jadi bonus apabila saya sudah ada bayangan apa yang perlu dibuat di atas pentas nanti.

“Memandangkan masa singkat, saya mesti memanfaatkan setiap detik sebaik mungkin. Belajar dari pengalaman lepas, saya perlu kosongkan fikiran di atas pentas. Saya bukan Misha Omar, bukan penyanyi sebaliknya Tun Hasmah kerana mudah untuk jiwai watak.

“Watak ini besar dan bagus untuk profil saya. Justeru itu saya mestilah yakin dengan diri sendiri. Insya-Allah, saya menjanjikan sedikit kelainan dalam MTM II,” katanya yang popular dengan lagu Adam dan Hawa. Kata Misha lagi, cabaran lebih terasa apabila dia perlu memastikan lakonannya seiring dengan Elly Mazlien yang memegang watak Tun Hasmah ketika dewasa. Mujur sebelum ini dia dan Elly pernah bekerjasama, jadi tidak sukar untuk mereka mencari keserasian.

“Tidak dinafikan apabila dua pelakon menjayakan satu watak, kita perlu lebih berhati-hati. Ini kerana jika tidak dilakukan dengan betul, persembahan akan jadi canggung. Saya tidak ada masalah melakonkan watak Tun ketika muda kerana saya juga jenis yang agresif dan aktif. Elly pula memang sesuai dengan watak Tun ketika dewasa kerana dia memang lemah lembut orangnya. Ciri-ciri kelembutan Tun ada pada Elly.

“Saya harap penonton nampak saya di atas pentas nanti dan tidak membandingkan lakonan saya dengan Erra. Mudah-mudahan apa yang dipersembahkan dapat menzahir nuansa berbeza daripada pementasan sebelum ini,” katanya. Diminta memberi komen terhadap sindiran suara sumbang kononnya dia melobi produksi supaya diberikan watak Tun Hasmah, Misha dengan tenang berkata ia tidak berbekas di hati. Tiada istilah melobi kerana CTRA Productions yang melamarnya malah berita itu diketahui dua hari sebelum sidang media kedua MTM II berlangsung.

“Apabila menceburi dunia seni kita kena bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Saya tidak takut dengan kritikan dan cemuhan orang. Hakikatnya menerusi kritikan kita dapat perbaiki kelemahan malah banyak yang boleh kita belajar. Mana yang baik kita ambil dan mana yang buruk letak tepi. Jangan sesekali ambil hati kerana itu adalah sebahagian daripada kehidupan. “Lagipun bila bercakap soal seni, ia sangat subjektif. Kadang-kadang kita rasa sudah melakukan yang terbaik tetapi di mata orang tidak dan begitulah sebaliknya. Apa yang saya praktikkan, kita kena menikmati hidup dan kerja. Bagi saya, bila adanya kritikan bermakna orang sayang kita,” kata Misha.

Selain Misha, teater muzikal arahan Rosminah Mohd Tahir ini turut diterajui Esma Daniel, Ezany Nazariff, Shafeiq Shazwan Zamrus, Elly Mazlein, Sarimah Ibrahim, AC Mizal, Azean Irdawaty, Datuk Jalaluddin Hassan, Mazhar Tun Mahathir dan Diana Johor.


*HARIAN METRO

Tiada ulasan:

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin