Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Rabu, 7 Julai 2010

Misha temui cinta si Uda


LENGGOK bahasa tubuh diatur sopan, butir bicaranya juga penuh kelembutan. Itu sudah jelas memaparkan ciri-ciri ketimuran seorang gadis Melayu yang ada pada Dara hingga mampu meruntun hati mana-mana jejaka.

Sungguhpun begitu, hati si Dara bukanlah mudah dirampas sebarangan lelaki kerana kasih dan cintanya hanya pada sang kekasih, si tampan bergelar Uda.

Menyelami peranan sebagai Dara rupanya sukar ditelan oleh pemilik nama Misha Omar yang terpilih membawakan watak dambaan ramai pelakon teater itu.

Masakan tidak, membawakan watak yang lahirnya dari sebuah naskah agung karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang pastinya mencetuskan emosi gementar bukan sahaja terhadap dirinya tetapi semua tenaga produksi yang terlibat.

Setelah penat berteka-teki mengenai watak Uda, Misha kini boleh menarik nafas lega apabila teruna yang bakal ditemukan menjadi kekasih hatinya menerusi pementasan teater muzikal itu adalah Razali Hussain, 34.

Bercerita mengenai penantian Dara sebelum ditemukan dengan ‘Udanya’, Misha mengakui dia mengalami kesukaran dari aspek latihan.

Ini kerana, untuk mendapatkan momentum yang baik dalam menjiwai dan menghidupkan suasana romantis, dia dan ‘kekasihnya’ itu perlu disatukan.

“Tuntutan watak ini bagi saya amat berat lebih-lebih lagi apabila produksi masih belum menemui calon tepat untuk watak Uda. Misha terpaksa berlatih sendiri selain dibantu tenaga produksi yang lain.

“Namun selepas pengarah teater, Datuk Rahim Razali mengumumkan pemilihan Razali sebagai Uda, saya terima dengan hati yang terbuka.

“Pun begitu, saya terpaksa mengaku, untuk minggu pertama penglibatan Razali semasa sesi latihan, saya banyak menyusahkan dia terutama saat latihan menyulam rasa cinta antara Uda dan Dara itu sendiri,” katanya.

Sambil menyifatkan dirinya masih baru dalam dunia pementasan teater, Misha yang tidak lokek dengan senyuman turut berkongsi ‘penderitaannya’ ketika menggalas tanggungjawab menjadi Dara mengikut perspektif Rahim Razali.

Kata wanita berasal dari negeri Che Siti Wan Kembang ini, selain bertungkus-lumus menghafal dialog, menyanyi dan menari, aspek penghayatan merupakan bahagian yang paling sukar dilakukan.

“Sesuatu yang aneh apabila kita terpaksa menjadi orang lain meskipun seketika. Seolah-olah saya meminjamkan jasad ini untuk Dara. Saya harus pastikan cara berjalan, bercakap, berlari, lenggok tubuh pendek kata semuanya perlu menepati ciri-ciri kelembutan seorang wanita.

“Semua ini bertentangan dengan sifat sebenar saya yang agak kasar. Sehinggakan Jatuh cinta? Ya.. Saya memang harus jatuh cinta dengannya dan getarnya juga dapat dirasakan. Tetapi sebagai Dara bukannya sebagai Misha Omar. pernah satu ketika saya hampir putus asa dan berkata ‘Aku tidak patut berada di sini’. Menangis? Ya.. pernah juga tertumpah air mata ini demi Dara.

“Tetapi, semua itu saya terima sebagai satu cabaran kerana saya yang memilih tugas ini. Jadi saya perlu teruskan sehingga ke akhirnya,” katanya komited.

Pernah menjayakan watak ketua ikan buntal dalam pementasan teater Muzikal Gamat bersama Amy Mastura pada Mac lalu, Misha ternyata semakin bijak membiasakan diri dengan dunia teater meskipun sedar masih banyak yang harus diterokainya.

Getar cinta Razali

Berbicara mengenai Razali, pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta ini sempat tersipu malu tatkala diasak pertanyaan jika dia dan Razali ditakdirkan bercinta sementelah sentiasa ‘berkepit’ demi menjayakan teater ini.

Ketampanan yang dimiliki oleh pemuda kelahiran Georgetown, Pulau Pinang itu memang diperakui oleh Misha. Bahkan tanpa segan silu, dia turut mengaku dapat merasai getaran ‘cinta’ saat menatap wajah Razali.

“Jatuh cinta? Ya..Saya memang harus jatuh cinta dengannya dan getarnya juga dapat dirasakan. Tetapi sebagai Dara bukannya sebagai Misha Omar.

“Pun begitu, timbul juga kerisauan di hati jika ia benar-benar terjadi. Tetapi rasanya emosi masih lagi dalam keadaan terkawal dan minda saya hanya difokuskan untuk watak ini, ”katanya.

Jelas ibu angkat kepada Muhammad Adam Emie, 4, ini lagi, dalam soal kerja, Razali dinilai sebagai seorang yang sangat berdedikasi. Malah, pemuda itu juga banyak membantunya dari segi mutu lakonan.

Uda & Dara naskah indah

Tegas menolak andaian kolot sesetengah pihak yang mendakwa karya Usman Awang ini sebagai sesuatu yang membosankan, Misha menyimpulkan Uda & Dara sebagai sebuah naskah yang indah untuk ditonton.

Katanya, walaupun sudah dipentaskan sejak 38 tahun lalu, naskah ini masih berbalut segar dengan keindahan secara holistik.

“Siapa pun tidak dapat menyangkal bahawa naskah ini sarat dengan jati diri Melayu yang sangat tebal. Pada Misha, baik dari segi gambaran fantasi, bahasa, budaya, semua mengandungi keindahannya yang tersendiri,” jelasnya.

Muzikal Uda & Dara akan dipentaskan di Istana Budaya pada 10 hingga 20 Julai ini dengan dibarisi bintang-bintang ternama seperti Umi Kalsom (ibu Uda), Rosdeen Suboh (Uteh), Radhi Khalid (Pak Long) dan Mazlan Tahir (Alang Bakhil).

Orang ramai yang berminat untuk menonton dan membuat tempahan tiket boleh berbuat demikian dengan melayari laman web www.tiket2u.biz atau 03-41498600.

Tiket dijual pada harga RM35, RM70, RM105, RM140, RM170 dan RM190.

Tiada ulasan:

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin