Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Jumaat, 17 April 2009

Mahu Karya Berbekas di Jiwa : Misha Omar


EMPAT tahun yang menyimpan banyak cerita buat penyanyi bersuara lunak, Misha Omar. Lara, manis dan tempoh itu juga menemukan Misha dengan erti cinta sebenar lantas menumbuhkan detik magis untuk dia terus berdiri di lantai seni suara. Terlalu banyak yang berlegar dalam lingkungan seni Misha sepanjang penantian empat tahun itu bahkan turut membekas satu harapan besar di hati penyanyi kelahiran Machang, Kelantan.

“Saya ingin sekali mempersembahkan sebuah karya dengan harapan ia akan membekas di jiwa. Sebuah persembahan sederhana namun dilimpahi sejuta warna dan itu yang akan ditemui pencinta suara saya dalam karya terbaru, Misha Omar,” katanya. Samihah @ Aisah Omar atau lebih dikenali sebagai Misha Omar mahu kembali bangkit, malah menerusi album ketiga yang mengangkat namanya sebagai judul memperlihat kelainan yang cuba dibawanya hasil ilham bersama Ramli MS yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif.

Memuatkan enam sentuhan terbaru, dua lagu yang pernah dipopularkan dulu manakala tiga lagi dipersembahkan secara minus one, penyanyi berusia 26 tahun itu mempunyai alasan sendiri mengapa album itu dipasarkan semalam. “Empat tahun adalah tempoh yang terlalu panjang. Saya tidak mahu membiarkan peminat terus menanti kerana ia mungkin akan membangkitkan rasa jemu apabila penantian itu tidak juga berakhir.

“Justeru, atas perbincangan bersama syarikat rakaman maka kami relakan album ini dipasarkan dulu sebagai permulaan Misha kembali ke dunia nyanyian. “Satu harapan saya album ini akan menjadi permulaan yang baik, seterusnya menyuntik keyakinan untuk terus berkarya kerana jiwa seni saya tidak pernah mati selama tidak melahirkan album baru,” katanya.

Barangkali penerbitan yang ditangani nama besar seperti Ajai, Cat Farish, Aidit Alfian, Nur Fatima dan Azmeer akan melontarkan Misha ke satu topik perdebatan, apatah lagi tiga daripada enam sentuhan terbaru dalam Misha Omar sudah dimainkan sejak dua tahun lalu. Nafas Cahaya karya M Nasir umpamanya diiktiraf sebagai Lagu Irama Global Pilihan, Anugerah Era 2007 manakala Sembunyi kolaborasi bersama Andy Flop Poppy membawa mereka ke final Anugerah Juara Lagu Ke-22, Januari lalu.

Seakan dapat membaca apa yang bakal diperdebatkan, penyanyi yang mengukir nama menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta itu sudah bersedia dengan jawapan bernas. “Dalam situasi pasaran industri muzik yang lemah, saya bersama syarikat rakaman perlu mencari jalan tengah supaya semua pihak mendapat keuntungan bersama. “Walaupun hanya mempunyai enam sentuhan baru, namun setiap satu lagu yang dimuatkan dalam album ini mempunyai kekuatannya tersendiri.

“Barangkali ada yang melihat kekuatan sesebuah produksi kepada jumlah lagu dimuatkan tetapi saya lebih mementingkan kualiti. Enam lagu namun semuanya mempunyai kekuatan yang sama untuk diangkat sebagai single. “Jadi saya melihat penerbitan Misha Omar sebagai satu strategi iaitu menghadiahkan pendengar hanya dengan karya bermutu tetapi pada masa sama, cuba mencuri perhatian mereka bersama koleksi lagu memenuhi selera,” katanya memberikan rasional.

Memberikan Misha Omar lebih makna apabila penerbitan produksi ini turut mendapat dokongan insan berpengalaman dalam industri muzik seperti M Nasir, Allahyarham Loloq, Habsah Hassan dan ramai lagi. Gabungan hebat antara nama hebat lama dan baru juga diharapkan Misha akan memberi impak kerana setiap mereka memberikan sentuhan listrik sebagai penguat produksi.

“Boleh dikatakan saya berpuas hati, cuma agak kecewa kerana tidak mempunyai masa lebih banyak untuk memberikan yang lebih kepada pendengar. “Tetapi, dengan jumlah lagu yang ada ini juga memberi keyakinan untuk saya terus bertapak kerana setiap satu mempunyai kekuatan, malah memberi landasan kepada saya untuk terus bertapak dalam bidang seni suara,” katanya.

Kata Misha mengenai: Jawapanmu Trek pertama dalam album Misha Omar yang terpilih sebagai single ketiga ini pasti membuatkan jiwa anda berasa relaks dan akan mula bergerak mengikut irama tari yang perlahan dan mendamaikan. Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Cat Farish ini dimainkan di pelbagai stesen radio tempatan dan sentiasa menjadi pilihan pendengar.

Sampai Di Sini Lagu yang mengisahkan perasaan terluka dalam percintaan ini amat puitis dan begitu mendalam maknanya ini diilhamkan Ajai manakala lirik hasil nukilan Slen.

Sembunyi Lagu duet bersama penyanyi yang mempunyai suara serak basah tidak asing lagi iaitu Andy Flop Poppy. Walaupun ini kolaborasi pertama di antara Misha dan Andy, namun gandingan mantap dan keserasian mereka dapat didengar menerusi kejayaan mereka membawanya. Lagu yang dicipta Aidit Alfian dan Allahyarham Loloq ini pernah terbaris sebagai finalis Anugerah Juara Lagu Ke-22 (2008) dan finalis Hits 1 Musim Ke-5 (2008).

Cinta Adam dan Hawa Single terbaru album ini diilhamkan Azmeer dan lirik ditulis Loloq. Bermelodikan balada-rock-moden, lagu ini berkisar mengenai percintaan.

Nafas Cahaya Single pertama mendapat sentuhan daripada sifu M Nasir dan sekali lagi cetusan kreatif tinta Allahyarham Loloq pernah menjulang trofi Irama Global Pilihan di Anugerah Era 2007.

Cinta Suci Lagu cinta memang sinonim dengan Misha, justeru Cinta Suci ini dicipta sepenuhnya oleh Nur Fatima dan Omar K istimewa untuknya sebagai luahan hati kepada mereka yang sedang enak dalam alunan cinta. Profil:

Tiada ulasan:

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin