Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Jumaat, 15 Mei 2009

Misha, Adam tak dapat dipisahkan




BIARPUN sudah seminggu berlalu, masih ramai peminat memperkatakan mengenai Anugerah Industri Muzik Malaysia Ke-16 (AIM16) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang berlangsung dalam suasana meriah, dengan banyak keputusan di luar jangkaan.

Ia termasuk kemenangan besar Misha Omar pada malam kemuncak itu apabila menguasai empat kategori utama yang dipertandingkan iaitu Lagu Terbaik Sepanjang Tahun, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Album Pop Terbaik.

Malah, kemenangan itu turut dianggap sebagai kebangkitan semula penyanyi berkenaan dalam industri muzik tanah air selepas menghasilkan album terakhirnya, Aksara, empat tahun lalu dan hanya cenderung mengeluarkan single sebelum ini.

Misha dalam pertemuan bersama B*Pop baru-baru ini, menyifatkan kemenangan itu sebagai detik bersejarah dalam perjalanan karier nyanyiannya yang bermula sebagai finalis Bintang RTM 2001.

"Inilah kejayaan terbesar sepanjang bergelar anak seni. Tidak pernah termimpi pun untuk mencatatkan kemenangan terbesar, lebih-lebih lagi membabitkan empat kategori utama dalam sebuah anugerah berprestij, khusus dalam mengiktiraf karya muzik tempatan," katanya.

Katanya, AIM sama sekali berbeza dengan majlis pengiktirafan lain yang dianjurkan dalam industri hiburan tanah air kerana ia lebih cenderung kepada aspek kualiti karya muzik dihasilkan, bukannya bersandarkan kepada populariti, malah penentuan pemenang dibuat oleh juri profesional.

"Sebab itulah, kebanyakan penggiat muzik kita, termasuklah penyanyi cukup berbangga apabila memenangi AIM. Malah, saya sendiri menunggu lama untuk mencatatkan kemenangan ini. Apa yang boleh saya katakan, penantian saya selama ini sudah terbayar.

"Malah, tidak sia-sia masa yang begitu lama diperuntukkan, begitu juga belanja besar yang terpaksa dikeluarkan untuk menyiapkan album ini... semua berbaloi. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kejayaan ini dan memberikan saya semangat untuk menghasilkan karya lebih berkualiti pada masa depan," katanya.

Walaupun mencatatkan kejayaan besar itu, ada sedikit rasa terkilan dalam diri penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini kerana tidak berpeluang memenangi Album Terbaik.

"Laluan memang sudah dekat, cuma tidak berpeluang. Mungkin belum rezeki saya agaknya. Bagaimanapun, nasib menyebelahi saya apabila Nafas Cinta diangkat sebagai Lagu Terbaik. Itu pun sudah cukup baik," katanya.


Misha mengakui kemenangannya pada malam itu memang di luar jangkaannya, malah tidak meletakkan harapan tinggi apabila dicalonkan bagi setiap kategori berkenaan.

"Maklumlah, Misha 2008 mengambil masa agak lama untuk disiapkan sehingga peminat pun keliru sama ada ia album baru saya atau album kompilasi. Ini disebabkan kecenderungan saya menghasilkan single kemudian disusuli album baru," katanya.

Melalui Misha 2008 juga, impian penyanyi jelita ini menjadi kenyataan apabila berpeluang bekerjasama dengan pengarah muzik terkenal, Ramli MS, yang dikaguminya sejak sekian lama walaupun bayaran dikenakan agak tinggi berbanding penerbit lain.

"Sebenarnya, sudah banyak kali kami bekerjasama tetapi untuk persembahan saja... kalau album, ini yang pertama. Memang ada dengar cerita Abang Ramli mahal (bayarannya) tetapi saya tidak percaya sehinggalah dia 'membuka mulut'. Terlopong juga saya dibuatnya.

"Namun, saya tidak kisah kerana bayaran diminta setimpal dengan hasil kerjanya. Yang pasti, tidak rugi jika anda membeli album ini. Bila anda sudah mendengarnya, barulah anda tahu mengapa bayarannya mahal seperti yang dikhabarkan," katanya.

Kelewatan Misha 2008 disiapkan juga disebabkan mahu menunggu masa terluang Ramli untuk menerbitkan album itu memandangkan jadual hariannya yang dipenuhi pelbagai aktiviti seni di dalam dan luar negara.

"Kebetulan kami terbabit dalam satu persembahan. Saya memberanikan diri sama ada dia berminat menerbitkan album saya namun jawapan yang diberikan agak mengecewakan. Abang Ramli beritahu jadi penerbit album kerja yang buang masa, lebih-lebih lagi beliau sangat sibuk.

"Namun, saya tidak patah semangat dan terus menunggu sehinggalah beliau memberikan persetujuan. Itu yang ambil masa lama, selain mahu mengumpul material. Daripada pengamatan saya, Abang Ramli seorang yang mementingkan kesempurnaan dan ketelitian. Itulah yang 'mahal' sebenarnya," katanya.

Beliau turut mengakui tidak kisah menunggu lama dan terpaksa berbelanja besar untuk Misha 2008 kerana ia memuaskan hatinya, malah menganggap album ketiganya itu sebagai album terbaik pernah dihasilkannya sepanjang sedekad menceburi bidang nyanyian.

"Yang penting, saya tidak akan menyesal kalau tidak lagi berpeluang atau mengambil masa lebih lama untuk menghasilkan album selepas ini. Misha 2008 bukan sekadar memuatkan lagu, sebaliknya karya hebat yang sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

"Ia juga bukan sekadar album, malah satu lambang transformasi selama 10 tahun bergelar penyanyi, bidang ini, terutama kematangan vokal saya, selain kemampuan menyanyikan pelbagai genre lagu. Tidaklah orang kata saya hanya penyanyi 'lagu sendu' atau balada saja," katanya.

Menyimpan impian untuk berduet dengan Anuar Zain, Amy Search dan Ramli Sarip, Misha secara jujur mengakui sudah mempunyai teman istimewa yang mula dikenalinya dua tahun lalu selepas diperkenalkan oleh beberapa teman rapatnya.

"Kami memang banyak perbezaan... dia pegawai kerajaan, manakala saya seorang artis tetapi berkongsi minat yang sama. Mungkin inilah yang menyebabkan kami serasi. Alhamdulillah, hubungan kami berjalan dengan baik dan direstui keluarga masing-masing.

"Bagaimanapun, saya tidak mahu membuka isu perkahwinan kerana sebagai wanita, saya tidak mahu mendesak. Bagi saya, perkahwinan masih terlalu jauh walaupun itu yang saya harapkan. Saya seorang wanita, mana mungkin saya mahu melamarnya... takkanlah perigi mencari timba," katanya.

Misha memberitahu B*Pop, teman istimewanya turut serasi dengan Muhammad Adam Emir, malah memenuhi 'piawaian' untuk menjadi 'papa' kepada anak kesayangannya itu.

"Apa yang saya nampak, mereka serasi. Memang nampak dia mudah mesra dengan budak-budak. Dari sudut kewangan, kita boleh sama-sama 'work out'. Jika dilihat dari kemampuannya menjadi seorang ayah, memang nampak dia bertanggungjawab.

"Memang dia mempunyai ciri-ciri yang saya cari. Memanglah saya mengharapkan perhubungan ini berakhir dengan satu ikatan sah tetapi biarlah masa yang menentukan. Tidak perlu terburu-buru... jika ada jodoh takkan ke mana-mana," katanya.

Tiada ulasan:

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin