Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Isnin, 4 Mei 2009

Misha Guna Telefon Lama



Misha yang pernah kehilangan sebuah telefon bimbit tidak kisah menggunakan telefon bimbit model lama, Sony Ericsson K810i.

ADA sesetengah individu memiliki ‘kegilaan’ terhadap gajet berteknologi tinggi. Biarpun harga satu-satu gajet menelan perbelanjaan yang besar, namun disebabkan minat, ia tidak menjadi halangan.

Bagi penyanyi dan pelakon terkenal, Misha Omar, 27, dia bukanlah dikategorikan sebagai individu yang memuja alat elektronik berteknologi tinggi. Biarpun begitu, pemilik nama sebenar Samiha@Aisah Omar itu tidak menafikan gajet elektronik memiliki signifikan tersendiri dalam melengkapkan perjalanan dunia serba moden. Misha beranggapan kemudahan teknologi tinggi cukup berguna dalam kehidupan, apatah lagi dalam keadaan manusia yang selalu dibayangi komitmen kerja yang banyak.

“Gajet canggih dan manusia dalam kehidupan sekarang bagai tidak boleh dipisahkan. Rata-rata menggunakan peralatan berteknologi canggih hampir setiap hari, tanpa menghiraukan tahap kerjaya mereka. “Baik individu kelas pertengahan mahupun pekerja profesional, masing-masing menggunakan khidmat barangan elektronik demi memudahkan urusan kerja.

“Kalau sebelum ini gajet ditafsirkan sebagai kemahuan manusia untuk hidup lebih selesa, kini berlaku transisi ketara apabila gajet menjadi satu keperluan dalam situasi berkaitan. “Gajet memang penting, cuma kita tidak boleh terlampau ‘bertuhankan’ teknologi ini setiap masa dan keadaan.

“Disebabkan terlalu taksub, kita seolah-olah kehilangan arah apabila menyifatkan barangan elektronik canggih menjadi penyelesaian untuk segala-gala perkara,” jelasnya memberikan pendapat peribadi semasa ditemui di sebuah kafe di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

JIKA ada masa terluang Misha akan bermain permainan video kesukaannya.Bukannya Misha bersikap skeptikal dengan gajet-gajet canggih, sebaliknya dia lebih gemar bersederhana apabila tiba hal berkaitan alat berteknologi.

“Saya lihat ada sesetengah individu yang begitu obses dengan penggunaan gajet. Sedangkan mereka tidak mengetahui selok -belok gajet dan fungsinya yang sebenar. “Kononnya ingin dilihat sebagai orang yang mengikut peredaran masa, namun hakikatnya mereka hanya mahu menunjuk-nunjuk dengan kemewahan yang dimiliki.

“Pada pendapat saya, jika kita benar-benar perlukan gajet yang dihajati dan akan menggunakan keseluruhan fungsinya, maka barulah kita boleh beli. “Janganlah disebabkan kita mahu mengikut gaya hidup orang lain, kita tidak terkecuali membeli itu dan ini tanpa sebarang sebab munasabah,” ujarnya.

Guna telefon bimbit terpakai

Fenomena telefon jenama Blackberry dan terbaru kehadiran iPhone yang dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu lantas membuatkan ada penggemar gajet mulai tidak senang duduk
Lihat sahajalah reka bentuk, fungsinya yang sofistikated dan canggih, ia ibarat menjadi idaman setiap orang untuk memiliki salah satu daripadanya.

“Perkara ini melibatkan wang masing-masing, tetapi jika kita terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar sebab menginginkan telefon idaman yang canggih, saya tidak rasa ia berbaloi.“Saya sendiri tidak kisah untuk menggunakan telefon bimbit model lama, Sony Ericsson K810i.

“Saya pernah kehilangan sebuah telefon bimbit yang begitu saya sayangi dan boleh dikategorikan sebagai gajet canggih. “Dengan perasaan sedih, saya pantas ke kedai telekomunikasi untuk membeli telefon baru. Peliknya, sampai di sana, saya mengambil keputusan untuk membeli sebuah telefon bimbit terpakai pula.

“Walaupun sudah ‘berteman’ dengan telefon bimbit ini sejak tahun lalu, ia masih berada dalam keadaan baik,” tutur gadis yang dilahirkan pada 6 Januari 1982 itu sambil tergelak kecil. Meskipun dihadiahkan sebuah telefon bimbit baru iaitu Nokia E71 pemberian keluarga, sebaliknya Misha lebih selesa menggunakan telefon lama.

Menyambung bicara, anak jati Kelantan itu beranggapan telefon bimbit sekadar sebuah gajet yang bermusim.

“Gajet ibarat datang dan pergi dalam waktu singkat. Hampir setiap masa, kita dicanangkan dengan kehadiran gajet-gajet baru di pasaran yang lebih canggih.“Saya bukan tergolong sebagai individu yang meminati telefon bimbit. Saya begitu santai kerana tidak ada permintaan tinggi untuk sesebuah telefon bimbit.

“Cukuplah ia hanya boleh buat dan terima panggilan telefon, hantar dan terima SMS atau MMS dan buka e-mel. Itu sahaja sudah menggembirakan hati saya. “Selebihnya untuk aplikasi lain, ia hanya menjadi bonus untuk pemiliknya,” hujah Misha.

iPod sentiasa di sisi

Andai Misha tidak begitu mengutamakan kecanggihan telefon bimbit, namun dia memandang tinggi dengan penggunaan iPod dalam kehidupan sehariannya bergelar anak seni. “iPod menjadi gajet terpenting untuk saya. Kebiasaannya saya akan bawa gajet ini walaupun ke mana sahaja.

“Sebelum pergi ke satu-satu persembahan pentas, saya akan mendengar iPod dalam kereta untuk mengingati lirik dan juga menghafal melodi lagu-lagu yang ingin dinyanyikan. “iPod milik saya juga bukanlah gajet yang canggih ibarat iPod Touch, sebaliknya ia dibeli sejak beberapa tahun lalu. “Ia masih boleh digunakan dengan baik. Saya selesa dengan iPod sedia ada dan tidak berhasrat untuk membeli model baru.

“Sebelum kehadiran iPod, saya ingat lagi pengalaman menggunakan pemain CD yang besar.
“Saya kena angkut pemain CD ini ke merata tempat. Dengan fizikalnya yang besar dan agak berat, saya juga harus bawa beberapa keping CD. “Kini saya tidak perlu lagi bawa pemain CD ke hulu ke hilir,” akhiri Misha sambil matanya mengerling manja ke arah iPod kesayangan yang berwarna merah jambu itu

Tiada ulasan:

Bunga-bunga Cinta versi Juara Lagu

Pulangkan versi Juara Lagu

Ku Seru versi Juara Lagu

Semoga Abadi

Halaman Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Dedebu Cinta versi Separuh Akhir Muzik-muzik

Sembunyi versi Pencalonan Muzik-muzik

Jawapanmu versi Pencalonan Muzik-muzik

Cinta Adam dan Hawa versi Anugerah Skrin